shadow

IPOH:Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyifatkan pengumuman Malindo Air yang bakal memulakan penerbangan dari Ipoh-Medan (Kuala Namu) pada 16 Mac ini sebagai satu ‘berita baik’ kepada semua.

Katanya, pertambahan destinasi penerbangan menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) itu akan merancakkan operasi lapangan terbang selain menggalakkan kehadiran pelancongan dari dalam dan luar negara kelak.

“Menerusi pengumuman ini, ia akan menyediakan satu lagi perkhidmatan yang membolehkan rakyat kedua negara, Perak dan Indonesia di kawasan Sumatera dapat menggunakan penerbangan ini terus secara langsung serta membuka ruang kepada penduduk negeri Perak bagi kawasan negara sekitarnya menggunakan perkhidmatan LTSAS.

“Saya rasa gembira dengan keputusan yang dibuat oleh pihak Malindo Air setelah mengadakan perbincangan dengan pihak kita ini adalah satu daripada strategi kerajaan negeri bagi memperkenalkan destinasi bagi menarik pelancongan dari luar datang ke negeri Perak,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak 2017 di sini hari ini.

Katanya penambahan destinasi tersebut akan menjadikan Perak sebagai tumpuan pelancong daripada kawasan sekitar rantau Asia Negara dan luar negara.

“Setakat ini kita telah mempunyai khidmat penerbangan daripada Ipoh -Singapura, Singapura-Ipoh, Ipoh-Johor Bahru-Johor Bahru -Ipoh dan kali ini mempunyai penambahan dan harapkan ada destinasi lain.

“Kami juga sedang cuba untuk mendapatkan perkhidmatan ke Negara Selatan China dalam tempoh penerbangan sekitar tiga jam usaha berterusan perlu dilakukan bagi menarik pelancong untuk datang,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan perancangan lapangan terbang baharu jelas Zambry ia masih dalam proses perbincangan yang aktif dan pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan di peringkat Pusat.

Terdahulu 118 orang pegawai telah diiktiraf sebagai Modal Insan Cemerlang bagi tahun 2017 antaranya terdiri daripada 62 orang pegawai dibawah panel Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Perak, 7 dari Pejabat Kewangan negeri Perak, 24 orang dari Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.

Tidak ketinggalan, penyampaian sijil penghargaan bagi Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia Peringkat kebangsaan kepada Majlis Daerah Kerian dan Sijil bagi Anugerah MTC Gold Awards 2017, Kategori Destinasi Pelancongan Warisan dan Eko kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT).

Komen & Pendapat