Jenayah

Penganggur Didakwa Ceroboh Istana

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, atas dua tuduhan memasuki kawasan Istana Bukit Serene tanpa kebenaran dan melakukan kerosakan di garaj kereta istana, baru-baru ini.

Tertuduh, Sanusi Mohammad, 31, didakwa berada dalam kawasan istana tanpa memiliki pas, kad atau permit yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang diberikan kuasa di bawah perintah kawasan larangan pada kira-kira jam 12 tengah hari, 1 Mac lalu itu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan lapor Sinar Harian.

Manakala, dalam pertuduhan kedua, lelaki berkenaan didakwa melakukan khianat sehingga menyebabkan kerosakan di garaj kereta istana berkenaan pada masa dan hari yang sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah memasukkan dadah ke dalam badan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira jam 5 petang, 1 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali di hadapan Majistret Siti Hajar Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Lelaki berkenaan yang mengaku tidak bersalah memohon agar dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport ke mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran seminggu sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 April ini.

Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan ikat jamin berkenaan dan dibawa ke Pusat Reman Ulu Choh, Pontian.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");