Membawang Hari Ini

Pengerusi Skim Wajib Tayang Cabar Ahmad Idham Buat Laporan

KUALA LUMPUR: Pengerusi Skim Wajib Tayang, Zahrin Aris mencabar Ahmad Idham membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika tidak berpuas hati dengan proses agihan pawagam bagi filem arahannya, Hantu Wangan.

Zahrin berkata, tiada istilah filem kecil atau besar dalam menentukan jumlah pawagam untuk tayangan sesebuah naskhah seperti didakwa pengarah dan penerbit filem itu.

“Sebelum membuat keputusan jumlah pawagam yang layak ditayangkan, jawatankuasa akan melakukan pratonton dan menilai daripada sudut teknikal dan penyampaian.

“Kita akan bermesyuarat sekali lagi dan melihat semula filem itu sebelum layak diberikan jumlah pawagam,” katanya lapor BH Online.

Semalam, BH Online melaporkan, Ahmad yang tidak berpuas hati dengan proses agihan pawagam mengikut Skim Wajib Tayang termasuk mendakwa panel penilai menyifatkan filem arahannya, Hantu Wangan ‘kecil’, bertekad membuat laporan kepada SPRM.

Ahmad mahu SPRM menyiasat jawatankuasa skim berkenaan yang didakwanya tidak adil dalam membuat keputusan berhubung jumlah pawagam bagi tayangan filem terbaharunya itu.

Ahmad mendakwa menyedari ada sesuatu yang berlaku dalam jawatankuasa berkenaan hingga filem Hantu Wangan pada mulanya hanya diluluskan untuk ditayangkan di 25 pawagam, berbanding 40 premis dipohon.

Beliau juga mendakwa isu berhubung proses dan pertimbangan jumlah pawagam yang dilaksanakan skim terbabit sudah lama berlaku, tetapi tidak ada penerbit filem yang berani tampil ke depan.

Zahrin memberitahu, beliau ada menerima kiriman WhatsApp daripada Ahmad yang berterima kasih kerana akhirnya memberi 40 pawagam untuk tayangan filemnya.

“Saya cabar dia buat laporan kepada SPRM. Dia tak boleh berbincang dengan saya, sebaliknya (perlu) berjumpa dengan Datuk Yusof Haslam dan Pansha yang ada dalam jawatankuasa ini.

“Setiap wakil ada dalam jawatankuasa ini dan keputusan yang dibuat adalah secara kolektif. Ini bukan keputusan seorang individu, tetapi secara beramai-ramai,” katanya.

Tambah Zahrin, beliau menganggap yang diperkatakan Ahmad adalah pandangan peribadinya.

“Sebagai orang lama dalam industri, sepatutnya dia faham benda-benda macam ini. Saya juga sudah mengulangi perkara ini.

“Saya rasa dia sengaja mencari publisiti murahan untuk filemnya. Bagi saya, kalau dia nak buat laporan SPRM, saya tak halang,” katanya.

Zahrin berkata, dia tidak mampu menghalang pandangan dan kritikan mana-mana individu atau penggiat seni terhadap jawatankuasa itu.

“Apabila dia ada niat untuk memburukkan jawatankuasa ini, saya tak boleh halang. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sudah banyak membantu orang industri, malah skim ini tidak didapati di negara lain.

“Kalau tiada peraturan Skim Wajib Tayang ini, saya rasa banyak filem yang tak layak masuk panggung,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");