Sukan Hari Ini

Perak Benam Sarawak Dengan Tiga Gol

PERAK melangkah ke pusingan ketiga Piala FA apabila menundukkan Sarawak 3-1 dalam perlawanan di Stadium TLDM di sini, malam semalam.

Memetik laporan Harian Metro, skuad bimbingan Mehmed Durakovic itu mula mengasak ke kubu lawan sebaik perlawanan dimulakan dan hampir berjaya mendahului Sarawak pada minit ketiga namun Gilmar Jose Da Silva Filho gagal menanduk kemas hantaran Brendan Gan.

Ketika sedang bernafsu mengasak ke kubu lawan, skuad The Bos Gaurus dikejutkan dengan serangan balas pantas Sarawak dan berjaya mendahului menerusi pemain import, Mateo Roskam pada minit ke-7.

Perak yang tidak mahu mengaku kalah melakukan serangan bertali arus dan kelajuan Mohd Nor Hakim Hassan memaksa pertahanan Sarawak, Mohd Sabre Mat Abu menjatuhkannya di dalam kotak penalti.

Sepakan penalti dihadiahkan pengadil perlawanan pada minit ke-15 berjaya disempurnakan Wander Luiz menewaskan penjaga gawang Sarawak, Mohamad Firdaus Muhammad.

Gilmar yang sering mencemaskan kubu lawan akhirnya berjaya menemui sentuhannya apabila merembat bola hasil hantaran rakan dari sebelah kiri padang pada minit ke-39 menewaskan Mohamad Firdaus untuk gol kedua tuan rumah.

Pada babak kedua pula, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan lebih berhati-hati dengan sesekali melakukan serangan pantas ke kubu lawan.

Tiga pertukaran dilakukan Sarawak masih gagal untuk menghasilkan gol penyamaan apabila Mateo dikawal ketat pertahanan Perak sehingga menyukarkannya untuk melakukan cubaan.

Gilmar menjadi wira Perak apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-84 menerusi tandukan cantik selepas menerima hantaran Robert Richard Conthwaite.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");