Sukan Hari Ini

Perak Boleh Menang Lebih Besar – Mehmet Durakovic

LIGA SUPER I Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menyifatkan pasukannya boleh menang lebih besar ke atas Selangor dalam perlawanan Liga Super 2018 yang berlangsung di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, malam tadi.

Beliau berkata terdapat dua atau tiga peluang terhidang pada babak kedua yang sepatutnya boleh diterjemahkan kepada gol namun gagal dimanfaatkan The Bos Gaurus, sekalipun menguasai hampir keseluruhan permainan.

“Secara jujur, Selangor tampak macam kurang melawan. Kemungkinan kita boleh jaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa kedua.

“Namun, saya puji komitmen dan semangat juang pemain. Mereka menonjolkan permainan terbaik pada separuh masa pertama dan kemenangan menentang Selangor dengan tiga jaringan adalah perkara yang menakjubkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan, semalam.

Perak yang beraksi di hadapan lebih 7,000 penyokong sendiri menewaskan Selangor 3-0 bermula dengan jaringan sendiri pemain pertahanan Selangor Ashmawi Yakin pada minit ke-20, sebelum D. Kenny Pallraj dan penyerang import Gilmar Da Silva menambah jaringan Perak, masing-masing pada minit ke-36 dan 46.

Beliau berharap anak buahnya akan mengekalkan persembahan seumpama itu pada perlawanan akan datang khususnya dalam perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Pulau Pinang di Batu Kawan, Pulau Pinang pada 17 Mac ini.

“Kita ada dua hari untuk berehat, selepas itu pemain akan kembali berlatih untuk beri tumpuan perlawanan dengan Pulau Pinang dan kita harap momentum kemenangan ini akan dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Selangor, P. Maniam berkata kelekaan anak buahnya pada babak pertama perlawanan punca kekalahan pasukan.

Walaupun ada perubahan pada babak kedua, ketumpulan barisan serangan menyebabkan mereka gagal membolosi gawang Perak, katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");