Berita Hari Ini

Pesta Angin Timur 2018 23 Mac

KANGAR – Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2018 yang bertujuan menyemarakkan aktiviti kebudayaan tempatan di negeri ini akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini setelah acara itu ditangguhkan sebelum ini akibat hujan lebat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian Negeri, Datuk Abdul Jamil Saad berkata perkarangan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini dijadikan tapak baharu pesta itu.

Beliau berkata pesta itu pada asalnya dirancang pada 9 hingga 11 Mac lepas di Kampung Bangsal Lebah, Kayang tetapi terpaksa ditangguhkan apabila tapak pesta digenangi air akibat hujan lebat.

Katanya sungguhpun tarikh baru ditetapkan pada 23 hingga 25 Mac, namum tapak pesta masih digenangi air sehingga memaksa lokasi pesta diubah ke perkarangan Dewan Undangan Negeri.

“Deretan khemah sedang giat didirikan di tapak baharu yang tidak dinaiki air,” katanya kepada Bernama selepas meninjau tapak baharu pesta itu , hari ini lapor Bernama.

Abdul Jamil berkata pelbagai acara yang menonjolkan tradisi masyarakat Melayu selepas musim menuai seperti acara dalam sawah serta persembahan kebudayaan tradisional akan tetap diadakan seperti dirancang.

Beliau berkata perubahan tarikh pesta itu mungkin memberi sedikit kesan terhadap kehadiran orang ramai namun pihaknya dimaklumkan ramai pelancong asing akan hadir.

Katanya pada tahun lepas lebih 300,000 orang mengunjungi pesta itu berbanding lebih 130,00 pada 2016.

Pesta itu yang menjadi acara tahunan sejak 2011 mendapat sambutan menggalakkan terutama dalam menarik kedatangan pelancong asing ke Perlis dan dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Tourism Malaysia sejak 2014.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");