Jenayah

Polis Tahan Pelajar Terbabit Kes Buli Di Nilai

NILAI: Polis menahan lima pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di daerah ini selepas satu rakaman video menunjukkan seorang pelajar lelaki dipukul sekumpulan pelajar viral di media sosial, semalam.

Sumber berkata, semua pelajar Tingkatan Empat yang berusia 16 tahun itu ditahan jam 10 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal polis mendapati pergaduhan itu berlaku Isnin lalu, berpunca daripada perebutan seorang pelajar perempuan di sekolah berkenaan.

“Menerusi video berdurasi 19 saat itu, seorang pelajar lelaki (mangsa) yang memakai baju sukan berwarna biru ditumbuk dan ditendang bertubi-tubi oleh sekumpulan lima pelajar.

“Bertindak atas penyebaran video berkenaan yang viral semalam, sepasukan anggota polis mengunjungi sekolah itu untuk menahan semua mereka, hari ini,” katanya, menerusi laporan BH Online.

Sumber berkata, dalam kejadian itu, seorang pelajar yang memukul mangsa patah tangan kiri selepas tergelincir dan terjatuh atas lantai di tingkat tiga sekolah terbabit.

“Pelajar yang patah tangan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, untuk rawatan dan sudah dibenarkan keluar dari wad. Mangsa pula tidak cedera serius,” katanya.

Katanya, semua pelajar terbabit ditahan sehari bagi membantu siasatan berhubung kejadian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Noor Azam Jamaluddin, berkata pihaknya tidak menerima laporan kejadian itu daripada mana-mana pihak.

“Kami hanya mengetahui pergaduhan itu menerusi video yang tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");