Perak Hari Ini

Polis Tolak Kereta Rosak Tengah Panas

PARIT BUNTAR – Cuaca panas terik langsung tidak menghalang tindakan murni dua anggota Unit Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk membantu menolak sebuah Proton Wira yang mengalami kerosakan di Jalan Taiping, di sini tengahari tadi.

Tindakan itu ternyata mendapat pujian orang ramai yang melalui jalan itu sehingga ada antara mereka sanggup memperlahankan kenderaan untuk memberi semangat dan kata-kata perangsang kepada dua anggota polis berkenaan.

Sinar Harian berkesempatan merakamkan saat kedua-dua anggota polis berkenaan, Sarjan Hamdan Mansor, 54, dan Koperal M Narayanan, 38, mengerah keringat membantu menolak kereta seorang lelaki yang rosak sejauh 70 meter hingga ke stesen minyak berdekatan pada jam 1.45 petang.

Pemandu kereta itu, Akmal Rafiq Akashah, 22, berkata, dia dan seorang lagi penumpang sedang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Tanjung Piandang, di sini atas urusan kerja.

Hamdan (kanan) dan Narayanan tiada masalah menolak kereta orang awam yang rosak sejauh 70 meter.

Menurutnya, setibanya di kawasan berhadapan Masjid Daerah Parit Buntar, kereta Proton Wira dipandunya mengalami kerosakan dan ‘tersadai’ di tengah jalan.

“Tidak lama selepas itu, kami didatangi dua anggota polis unit MPV yang kebetulan melalui jalan itu.

“Apabila dimaklumkan mengenai keadaan kereta saya yang rosak, mereka terus menawarkan diri untuk membantu menolak kereta saya sejauh 70 meter ke stesen minyak berhampiran secara sukarela.

Setelah membantu menolak kereta orang awam yang rosak, Hamdan juga tidak keberatan untuk membantu memeriksa kenderaan rosak terbabit.

“Saya benar-benar terharu dan berterima kasih atas inisiatif murni dua anggota polis berkenaan yang tidak lekok tenaga membantu kami meskipun terpaksa menolak kereta di bawah cuaca panas terik,” katanya.

Sementara itu, Hamdan ketika ditemui menyifatkan inisiatif membantu pemandu kereta yang rosak itu sebagai memenuhi sebahagian tanggungjawabnya sebagai penjawat awam.

Menurutnya, dia dan Narayanan tidak kekok untuk membantu menolak kereta rosak berkenaan di bawah cuaca panas terik dan gembira inisiatif itu sedikit sebanyak membantu mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan itu.

“Bagi saya, paling penting tugas kami sebagai anggota polis dapat membantu menyelesaikan masalah orang awam walau sekecil mana pun masalah itu.

“Hari ini kita tolong orang lain, mungkin suatu hari nanti kita pula memerlukan pertolongan orang lain,” ujarnya sambil tersenyum.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");