Isu Panas

PRU14 Pada Bulan Ramadan: Siapa Untung?

KETIKA tarikh PRU14 masih menjadi teka-teki pelbagai pihak, kini ramalan terbaru pula menyatakan kempen dan tarikh mengundi akan jatuh pada bulan Ramadan, yang bermula pada 17 Mei depan.

Adakah atas faktor kemenangan BN pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, yang diadakan pada bulan Ramadan, iaitu 18 Jun 2016, memungkinkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih PRU14 diadakan ketika umat Islam berpuasa?

Bagaimanapun, bagi penganalisis politik tempatan, sekiranya PRU14 diadakan pada bulan Ramadan, Pakatan Harapan bakal menerima manfaat besar.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ini kerana Harapan yang dikatakan didominasi DAP mempunyai lebih masa bagi tujuan kempen dan publisiti.

Menurutnya, mereka mempunyai kelebihan mengadakan kempen kecil-kecilan seperti berkempen dari rumah ke rumah sehingga kepada kempen besar, melibatkan program bersama masyarakat di sesebuah parlimen,” katanya.

Menurutnya, parti Melayu Islam seperti Umno, Pas, Amanah dan Bersatu bakal berdepan sedikit kekangan seperti tempoh berkempen pada waktu siang dan malam.

“Jika PRU pada bulan puasa, parti-parti Melayu Islam mempunyai kekangan masa untuk berkempen di waktu siang dan kekangan berceramah pada malamnya. Kalau kita lihat suasana PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, begitu juga akan berlaku pada PRU14.

“Solat tarawih habis sekitar jam 10.30 malam, dan pada jam 12 tengah malam, segala aktiviti berceramah perlu dihentikan. Dalam soal ini, Umno, Bersatu, Amanah dan Pas tidak mempunyai kelebihan,” katanya.

Beliau berkata, suhu kempen PRU14 juga akan suam jika ia diadakan pada bulan Ramadan, berbanding bulan lain.

“Bagi orang Islam, Ramadan itu bulan penuh berkat, keampunan, melipat-kali ganda amalan dan ia perlu dihormati. Saya menjangkakan setiap parti lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan, bagi mengelak timbul isu yang mencalarkan imej dan parti,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpendapat, Pas mendapat kelebihan sekiranya PRU14 diadakan pada bulan Ramadan.

“Kenapa saya kata begitu? Kerana pada bulan Ramadan, berapa ramai pemimpin dan ahli Pas yang menjadi imam untuk solat tarawih? Ini menjadi satu contoh terbaik memilih pemimpin dalam ajaran Islam.

“Secara tidak langsung, ia menjadi satu kempen yang menjadi nilai tambah buat Pas. Begitu juga bila Ramadan tiba, pasti banyak program berbentuk keagamaan diadakan dan siapa paling ramai di situ, kalau bukan ahli Pas,” katanya.

Menurutnya, tidak banyak kelebihan buat parti lain seperti Umno, DAP, Bersatu, Amanah dan PKR dalam kerja kempen mereka.

“Saya ambil contoh DAP, mereka mungkin lebih senang bergerak pada waktu siang untuk berkempen tetapi masih perlu menyesuaikan kaedah dan cara kempen pada bulan puasa.

“Begitu juga Umno, walaupun serba lengkap dari segi jentera dan kewangan, tetapi tenaga jentera pula terhad,” katanya.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");