Perak Hari Ini

Royal Belum Akan Terus Dikawal Rapi, Hadkan Jumlah Pelancong

IPOH:Hutan Simpan Negeri Perak atau Royal Belum akan sentiasa dikawal ketat bagi mengelak khazanah alam berusia lebih 130 juta tahun itu dimusnahkan.

Berikutan itu, kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian kuasa memantau kepada Jabatan Kerajaan bagi mengehadkan jumlah kehadiran pelancong di kawasan itu pada satu-satu masa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan telah membelanjakan jutaan ringgit bagi memastikan kawasan Royal Belum dipelihara dan dikawal selia sebaiknya.

“Usaha berterusan dilakukan termasuklah menyediakan punca kuasa bagi pihak jabatan di sana, menjaga kawasan dengan sebaiknya malah, pejabat daerah akan dipertanggungjawabkan untuk menyediakan kerja-kerja perlesenan melibatkan dari segi penjagaan kawasan tersebut begitu juga dengan jumlah kedatangan pelancong dalam satu-satu masa.

“Cadangan mengehadkan jumlah pelancong juga telah diletakkan dalam sasaran blue print Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang mana telah digariskan sasaran bilangan pengunjung yang boleh datang dalam satu-satu masa ke Royal Belum.

“Kerajaan negeri juga memantau jumlah bot, rumah bot atau ‘houseboat’ yang beroperasi di sana kerana kita perlu memastikan bilangan yang ada tidak sewenangnya bertambah bagi memastikan kawasan dijaga sebaik mungkin kerana Royal Belum adalah satu khazanah besar dan sangat berhrga buat negeri ini,” katanya dalam satu sidang media sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat exco hari ini.

Beliau berkata, Jabatan terlibat antaranya Perbadanan Taman Negeri Perak, Majlis Daerah Gerik, dan Jabatan Hutan diarahkan bagi memantau keadaan persekitaran hutan tersebut termasuk mengawal hal berkaitan perlesenan.

“Tidak bermakna kita membiarkan begitu ramai pengunjung berada di satu-satu masa sehingga menjejaskan keadaan alam sekitarnya tetapi paling penting mengawal sebaik mungkin supaya keadaan keliling dijaga dengan baik, kawasan air juga dapat dipelihara daripada terancam,” katanya.

Zambry turut mengakui turut menerima laporan berkaitan pemburuan haram namun perkara itu tidak berada pada tahap serius dan dipantau dari semasa ke semasa.

“Kerajan negeri akan bertindak bersama-sama pelbagai jabatan menangkap mereka yang terlibat dan kita sentiasa memberi perhatian serta bekerjasama dengan pihak keselamatan kerana khuatir penglibatan warga asing kerana Royal Belum terletak di sempadan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");