Berita Hari Ini

Sasar Kualiti Air Boleh ‘Minum Terus Dari Pili’

SERI ISKANDAR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) memerlukan kerjasama daripada semua semua pengendali bekalan air di negara ini dalam usaha mencapai sasaran bekalan berkualiti yang boleh diminum terus daripada paip air tanpa perlu dimasak atau ditapis.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, berkata ia adalah sasaran kementerian yang tidak mustahil dicapai dari segi peningkatan kualiti bekalan air seperti di negara maju dalam tempoh lima tahun.

“Inilah cabaran saya dan sekiranya semua operator air boleh bekerjasama dalam tempoh lima tahun ini, bagaimana (kita) boleh mencapai hasrat masyarakat untuk minum terus daripada paip (tanpa perlu dimasak atau ditapis) sebagaimana di negara maju yang membekalkan air sangat berkualiti tinggi dan terus masuk ke dalam perut kita,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional (TN50) dan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) Malaysia 2017-2030 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan kerjasama KeTTHA sempena sambutan Hari Air Sedunia 2018 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar di sini hari ini.

Zaini berkata, antara tindakan boleh dilakukan bagi mencapai hasrat itu ialah dengan memastikan sistem air terawat di dalam rumah diselenggara secara kerap atau tidak lagi menggunakan kaedah penggunaan tangki penyimpanan air di rumah sebaliknya menerusi penyaluran terus daripada tangki induk yang membekalkan air berkualiti.

“Jika kita ada `reserve margin’ (margin penyimpanan air) yang tinggi, kemudian kita ada bekalan air yang banyak dalam tangki air besar di (sesuatu) kawasan perumahan, kita tidak perlukan tangki air di rumah lagi, ini secara tidak langsung memastikan kualiti air itu dijamin oleh syarikat operator air.

“Jadi, kita dalam usaha (mencapai hasrat) itu, ini cabaran kepada kitalah, daripada bercakap tentang hal politik yang masing-masing mempunyai pendapat masing-masing, saya fikir kita kena fikir dalam masa lima tahun ini kita dapat capai matlamat ini,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi dialog, beliau berkata rakyat Malaysia masih tidak boleh meminum air terus daripada paip di rumah kerana tiada siapa dapat menjamin kualiti air yang berada dalam tangki air di rumah mereka.

“Ada sesiapa yang pernah naik atas bumbung dan lihat apa ada dalam tangki air di rumah masing-masing, mungkin ada bangkai tikus, air berkeladak atau karat yang kita tidak tahu.

“Oleh sebab itu, kita masih perlu memasak air daripada paip sebelum meminumnya,” katanya.

Beliau juga berkata, 20 peratus sumber tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia adalah datang daripada Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah yang membekalkan bekalan elektrik lebih 4,000 Megawatt (MW).-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");