Perak Hari Ini

“Saya Kuat Kerana Semangat Anak-Anak”

SERI ISKANDAR: Dari riak wajahnya yang ceria tiada siapa menyangka ibu kepada tujuh anak ini menempuh kehidupan yang cukup mencabar serta serba kekurangan hampir 15 tahun.

Mazura Meor Abdu Kadir, 38, kini tinggal di rumah nombor 30 Rancangan Perumahan Awam (RPA) Changkat Sodang di sini hanya mengharapkan bantuan dua anaknya yang bekerja sebagai pembantu dewan makan di sebuah sekolah dan di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Seri Iskandar.

Tambah memilukan, nasib anak-anaknya yang masih bersekolah terpaksa mengikat perut kerana dia tidak mampu memberi wang saku persekolahan malah rumah mereka juga pernah bergelap kerana tidak mampu membayar bil eletrik.

Mazura yang dahulunya bekerja di kantin sekolah berhampiran rumah terpaksa berhenti kerja bagi menjaga anak bongsunya yang baru berusia lima bulan.

“Sudah lebih 15 tahun saya hidup begini sebelum ini, saya tidak pernah meminta pertolongan sesiapa kerana saya malu bercerita tentang kehidupan kami, kini perbelanjaan harian bergantung pada dua anak saya yang telah bekerja.

“Sebelum ini semasa saya bekerja kuranglah sedikit perbelanjaan sekeluarga, tetapi selepas tidak bekerja memang sukar kalau ada duit belanja mereka akan ke sekolah jika tiada duit belanja mereka tidak akan ke sekolah pernah sekali seminggu mereka tidak bersekolah,” katanya ketika ditemui Peraktoday di rumahnya hari ini.

Turut hadir melawat keluarga besar ini, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Changkat Sodang Mohd Fauzi Ahmad Shuib.

Dia dan tujuh anaknya kini tinggal di rumah peninggalan arwah bapa bersama abangnya yang berusia 39 tahun serta adiknya yang berusia 24 tahun di mana kedua-duanya berstatus orang kurang upaya (OKU).

Katanya, dia sentiasa positif serta menguatkan semangatnya bagi menjaga keluarga dan memberikan terbaik untuk anak-anaknya membesar dengan baik.

“Kekuatan saya hanya pada anak-anak saya menjadi kuat, kerana anak-anak, saya lihat muka mereka, kesiankan mereka, saya bersyukur kami sihat semua tidak mempunyai masalah kesihatan,” katanya.

Pengerusi KRT Changkat Sodang, Zulkifli Shafie berkata kesempitan hidup Mazura sekeluarga diketahui apabila anak Mazura didapati tidak bersekolah kerana tidak mempunyai pakaian sukan untuk ke sekolah.

“Berikutan itu saya dan ahli jawatankuasa rukun tetangga telah memantau situasi ini dan menerusi program sayangi komuniti kami ambil tindakan iaitu memaklumkan kepada pusat khidmat Masyarakat DUN Bota dan kami berjaya mendapatkan bantuan baju sekolah buat anaknya lengkap dengan beg sekolah.

“Kami sentiasa memantau, masalah dihadapi penduduk dan usaha ini tidak hanya melepaskan batuk di tangga dalam memastikan kebajikan termasuk penduduk terjamin,” katanya.

Katanya, masalah Mazura sekeluarga telah dibawa ke perhatian beberapa pihak termasuk pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Daerah dan Jabatan Perpaduan.

Setakat ini katanya, adik Mazura yang merupakan OKU akan menerima bantuan RM400 sebulan pada bulan April ini manakala usaha bagi menempatkan anaknya yang kini menuntut di sekolah menengah ke asrama sedang dilakukan.

“Keluarga ini memerlukan bantuan dari segi keperluan makanan dan pakaian dan saya berharap pihak-pihak di luar sana yang sudi membantu boleh menyumbang pelbagai bantuan termasuk usaha menyumbang pakaian terpakai yang masih elok kepada keluarga ini amatlah dialu-alukan,” katanya.

Kepada yang ingin membantu, bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mazura Meor Abdu Kadir (08005-41-00006371-7) atau menghubungi Mazura di talian 016 2871327 atau (En Zul 017-4763994).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");