Sukan Hari Ini

SOM Perlu RM500,000 Hantar 52 Wakil Ke Kejohanan Olimpik Istimewa Dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia akan diwakili 52 atlet dan pegawai dalam tujuh acara sukan pada Kejohanan  Dunia Musim Panas Olimpik Istimewa  Abu Dhabi tahun depan.

Acara sukan rasmi bagi  temasya berkenaan adalah akuatik, olahraga, bocce, boling, bola sepak, ekuestrian dan  golf.

Pengerusi Olimpik Istimewa Malaysia (SOM)  Nur Azida Daud berkata atlet berkenaan akan dipilih melalui Sukan Olimpik Istimewa Kebangsaan dari 4 hingga 6 Mei ini.

“SOM bercadang untuk menghantar delegasi dianggotai 52 atlet dan jurulatih ke Abu Dhabi. Bagaimanapun, SOM perlu mengumpul dana sekurang-kurangnya RM500,000 untuk membawa sebuah kontinjen penuh, kami memerlukan pembiayaan terus sekurang-kurangnya RM20,000 bagi setiap atlet, termasuk kos jurulatih dan kakitangan sokongan,” katanya.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran pembiayaan itu,  SOM bersama Olimpik Istimewa Kuala Lumpur akan mengadakan konsert bertemakan ‘Music is the Universal Language of Love’ yang akan mengetengahkan persembahan oleh Zamil Idris dan Juwita Suwito pada 21  April di  Dewan Tunku Canselor, Universiti  Malaya.

“Konsert untuk mengumpul derma ini akan membolehkan  perbadanan  dan  individu memberi sumbangan dengan cara yang bermakna. CSR (tanggungjawab sosial korporat) adalah kunci kepada tugas kami yang berterusan membabitkan beribu-ribu kanak-kanak yang mengalami kecacatan intelektual di negara ini.

“Usaha seperti ini memerlukan komitmen, sumber dan pembiayaan terus. Bagaimanapun, saya harap konsert ini akan dapat mengumpul dana yang cukup bagi kami membawa kontinjen Malaysia ke  Abu Dhabi, tahun depan,” katanya.

Sebagai rekod, pada tahun  2016, terdapat  4,103 atlet olimpik istimewa yang berdaftar bersama  550 jurulatih manakala pada  2017, jumlah atlet meningkat sebanyak  14 peratus  (4,696) dan jurulatih sebanyak  12 peratus iaitu  616 orang. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");