Berita Hari Ini

SPAN Siasat Kes Loji Air Rosak

SATU jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian kerosakan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) ditubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (SPAN).

Pengerusi SPAN, Datuk Liang Teck Meng berkata, pihaknya telah mengarahkan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) untuk mengemukakan laporan audit berhubung kerosakan yang berlaku di loji tersebut.

“Sebelum siasatan dimulakan, laporan audit dari Splash perlu diteliti terlebih dahulu.

“Selepas itu, siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian sehingga menjejaskan bekalan air di Lembah Klang akan dijalankan,” katanya pada sidang media semalam.

Menurutnya, SPAN telah mengenal pasti berlakunya penurunan paras di SSP3 sejak Januari dan telah mengarahkan Splash untuk melakukan kerja penyelenggaraan.

Mengulas lanjut mengenai masalah bekalan air yang dihadapi di Selangor, beliau berkata, masalah itu akan berlarutan selagi kerajaan negeri tidak memuktamadkan penstrukturan semula itu.

“Selagi kerajaan negeri melanjutkan tempoh penstrukturan semula, masalah ini akan berpanjangan.

“Harap ia dapat dimuktamadkan segera supaya industri bekalan air Selangor dapat dikawal selia secara efektif oleh SPAN,” katanya.

Sementara itu, Teck Meng turut meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali berhenti menuding jari dan terus menyalahkan Kerajaan Persekutuan dan SPAN berhubung masalah bekalan air yang berlaku di Lembah Klang baru-baru ini.

“SPAN ingin menegaskan bahawa tiada sebarang unsur sabotaj dalam perkhidmatan air di negeri Selangor seperti yang dinyatakan mana-mana pihak.

“Saya menyeru semua pihak untuk berhenti mempolitikkan isu ini,” katanya.

Minggu lalu, beberapa kawasan di Selangor menghadapi masalah gangguan bekalan air yang menjejaskan kehidupan seharian kira-kira 2.8 juta penduduk.

Antara kawasan yang terjejas adalah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");