Jenayah

Suspek Jual Kereta Tidak Wujud Secara Dalam Talian Ditahan Polis

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki dipercayai menipu orang ramai dengan menawarkan kereta murah yang tidak wujud di sebuah portal jualan dalam talian.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Flat Sri Sabah, Cheras, di Kuala Lumpur jam 12.30 tengah hari, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kegiatan suspek terbongkar selepas seorang pekerja kilang membuat laporan polis mendakwa ditipu dalam pembelian kereta di dalam portal mudah.my.

“Kejadian berlaku pada 15 September tahun lalu ketika pekerja kilang lelaki berusia 47 tahun itu sedang melayari portal mudah.my di sebuah kilang di Bandar Jengka, Maran.

“Ketika itu mangsa berminat untuk membeli sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berharga RM5,600 dan mangsa kemudian berurusan dengan seorang lelaki bernama Raymond,” katanya menerusi laporan Astro AWANI.

Beliau berkata, pada hari yang sama, mangsa membuat bayaran pendahuluan secara dalam talian sebanyak RM800 ke akaun bank yang dimiliki oleh suspek yang ditahan.

“Mangsa sekali lagi memindahkan wang ke akaun yang sama sebanyak RM4,800 bagi menjelaskan baki harga kereta berkenaan.

“Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, mangsa tidak dapat menghubungi lelaki bernama Raymond berkenaan sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Jengka,” katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah dengan menawarkan jual beli kereta tidak wujud di laman sehingga mendorong mangsa memindahkan wang ke dalam akaunnya.

Suspek yang juga pemilik akaun bank berkenaan kini sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");