Perak Hari Ini

Syurga Burung Di Taman Alam Kinta

BUAT peminat keindahan alam semula jadi ataupun yang menjadikan fotografi sebagai salah satu hobi, apa kata anda singgah sebentar ke Taman Alam Kinta, Batu Gajah.

Kawasan bekas tapak lombong bijih timah berkeluasan sekitar 900 ekar ini menyajikan pemandangan yang sangat indah serta keadaan persekitaran yang cukup menenangkan.

Terletak kira-kira 30 kilometer daripada Bandaraya Ipoh, taman negeri ketiga (selepas Royal Belum dan Pulau Sembilan) ini juga lebih dikenali sebagai ‘taman burung’ oleh masyarakat tempatan kerana dilaporkan terdapat lebih 1,500 spesis unggas serta hidupan lain seperti ikan dan memerang.

Ia turut menjadi lokasi penghijarahan pelbagai jenis spesis burung seperti Burung Heron, Jamput Putih,Burung Merbok, Pipit Uban, Beberek Leher Biru dan Burung Rakit.

Lebih menarik lagi, ada antara burung-burung yang bermigrasi ke kawasan ini berasal dari luar negara.

Menurut sumber, selain sesi fotografi para pengantin, kawasan ini juga sering menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara antaranya yang datang dari China, Korea, Jepun dan beberapa pelancong dari benua Eropah.

Laluan Ke Sini

Terdapat dua jalan masuk ke sini. Yang pertama adalah laluan daripada Batu Gajah dan yang kedua adalah daripada Gopeng/Kampar.

Jika daripada Batu Gajah, anda akan melihat sebuah papan tanda penanda arah ke kawasan ini berdekatan dengan lampu isyarat simpang empat di Jalan Bemban.

Bagi laluan daripada Gopeng/Kampar, jalan masuk ke taman negeri ini adalah berhadapan dengan Klinik Desa Kota Bharu, Gopeng.

Setibanya anda ke sini, sebagaimana memasuki mana-mana taman negeri, para pelawat harus mendaftarkan diri terlebih dahulu di kaunter ranger di sini.

Ia dibuka setiap hari, seawal jam 8:00 pagi sehingga 6:00 petang.

Difahamkan sekitar tengah hari dan lewat petang, keberadaan burung di sini sangat banyak.

Taman Alam Kinta ini juga mempunyai beberapa kemudahan asas seperti tandas, pondok berehat dan juga tapak dewan terbuka.

Di sini juga turut mempunyai kawasan untuk menjalankan aktiviti perkhemahan.

Perlu Penambahbaikkan

Hasil tinjauan Perak Today pada Rabu, kawasan ini berada dalam keadaan baik namun, masih memerlukan beberapa penambahbaikkan.

Jalan utama ke kawasan ini diharap dapat ditambah baik. Sebagai contoh, laluan daripada Batu Gajah diharap dapat diturap dan diselenggara dengan baik memandangkan ianya merupakan laluan yang begitu hampir dengan jalan raya utama.

Selain itu, pihak pengurusan juga boleh dapat memperbanyakkan lagi papan tanda penunjuk arah ke kawasan ini.

Difahamkan bangunan dan pejabat di sini hanya beroperasi menggunakan generator elektrik selain mempunyai batasan tertentu bagi mendapatkan bekalan air bersih secara terus.

Ini sedikit sebanyak menganggu proses kerja di sini.

Pada masa sama, walaupun kawasan ini telah diwar-warkan melalui media berkenaan pewartaan sebagai taman negeri namun, terdapat segelintir penduduk tempatan yang masih berdegil dengan melanggar arahan yang ditetapkan dengan memancing dan menjala ikan di sini.

Tinjauan Perak Today mendapati terdapat beberapa individu yang sedang galak menjala ikan di sini tanpa menghiraukan tegahan dan larangan daripada pihak ranger.

Mungkin pihak pengurusan dapat meluaskan lagi pagar ke seluruh kawasan ini dan juga memperbanyakkan lagi papan tanda amaran di sekeliling Taman Alam Kinta ini, selain mempertingkatkan lagi usaha memelihara kawasan pelancongan ini.

Selain itu, masyarakat tempatan juga harus turut bersama-sama menjaga khazanah negeri ini agar ianya dapat terus menjadi tatapan buat generasi masa hadapan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");