Jenayah

Terowong Dasar Laut: Ahli Perniagaan Terima RM3 Juta Ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk kerana dipercayai terlibat menerima wang sejumlah RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Beliau juga meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan kes tersebut selain memberikan masa dan ruang kepada pihaknya untuk menyiasat kes tersebut dengan terperinci.

“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah Putrajaya untuk permohonan reman esok,” katanya lapor Astro AWANI.

Jelasnya, suspek pada awalnya meminta RM4 Juta sebagai habuan bagi menutup kes yang dalam siasatan SPRM itu.

Walaubagaimanapun, hasil rundingan, jumlah itu telah dikurangkan kepada RM3 juta.

“Pihak syarikat yang yakin dengan masalah itu mampu diselesaikan oleh suspek membuat pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai habuan,” jelasnya.

Difahamkan, suspek yang berusia 64 tahun dikatakan menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek itu selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Ahli perniagaan itu ditahan di ibu negara kira-kira jam 3.30 petang Jumaat.

Beliau merupakan individu kedua yang ditahan kerana dipercayai terlibat menerima wang bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut itu.

Pada Selasa lalu, SPRM menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana dipercayai terlibat menerima wang sejumlah RM19 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");