Sukan Hari Ini

‘Tiada Tolak Ansur Buat Pengacau’

KUALA LUMPUR: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018, Ciclista Sports Sdn Bhd tidak akan melindungi mana-mana pelumba yang melakukan kesalahan serius termasuk membaling botol air dan memukul peserta lain sepanjang perlumbaan.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, M Kumaresan memberi amaran mana-mana pelumba dan pasukan juga perlu bersedia untuk disingkirkan daripada perlumbaan sekiranya komisar mendapati mereka melakukan kesalahan serius dan boleh mencemarkan imej LTdL.

Justeru, Kumaresan berharap semua pelumba dan pasukan beraksi di LTdL 2018 mengambil iktibar kes pelumba Giant Cycling Team dari China, Chen Zhiwen yang disingkirkan daripada LTdL oleh komisar selepas didapati bersalah membaling botol dan melakukan keganasan terhadap pelumba lain, semalam.

“Sebagai penganjur LTdL kami tidak akan berpihak kepada pelumba Malaysia sebaliknya menyerahkan kepada komisar untuk memanggil dan mendengar cerita kedua-duanya sebelum membuat keputusan menyingkirkan pelumba China bernombor 111 daripada LTdL selain denda.

“Selain itu komisar LTdL juga membuat keputusan mengenakan denda terhadap Hariff Salleh biarpun dia adalah mangsa sebenarnya dan hanya mempertahankan dirinya.

“Bagi saya keputusan komisar itu bukan hanya tepat, malah menunjukkan ketegasan serta tidak berpihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana pihak sama ada pelumba Malaysia (Harrif) atau China (Zhiwen),” katanya, menerusi laporan BH Online.

Mengulas lanjut, Kumaresan berkata, beliau juga yakin insiden itu tidak akan menjejaskan imej LTdL pada masa depan.

Akhbar semalam melaporkan Zhiwen disingkirkan daripada perlumbaan LTdL selepas didapati bersalah melakukan kekasaran ke atas pelumba lain sebaik berakhirnya saingan di Kuala Terengganu.

Zhiwen didapati melakukan perbuatan itu ke atas pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh selepas berakhirnya saingan peringkat ketiga dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu.

Komisar LTdL 2018 dalam laporannya membuat keputusan menyingkirkan pelumba itu mengikut Artikel 30.1 kerana didapati bertindak ganas terhadap pelumba lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");