Jenayah

Tiga Ditahan Polis

TAPAH – Polis menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih yang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sebuah bilik di sebuah hotel di Jalan Bruseh, Bidor, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, tiga suspek berusia 24 hingga 29 tahun itu pada mulanya enggan membuka pintu ketika diarahkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama anggota task force Balai Bidor.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, seorang wanita berusia 24 tahun kemudiannya membuka pintu sebelum anggotanya terus menyerbu ke salah sebuah bilik.

Katanya, dalam serbuan itu anggotanya mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun sedang mencampak sebuah beg plastik berwarna merah dari tingkap bilik.

Pada masa sama, anggota menjumpai seorang lelaki berusia 25 tahun di tepi penjuru katil.

“Anggota menahan kesemua suspek dan melakukan pemeriksaan terhadap mereka termasuk sebuah beg plastik merah yang telah dicampak salah seorang suspek dari tingkap bilik hotel.

“Anggota juga menjumpai lima peket plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan berat 626.19, 16 peket plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan berat 70 gram,” katanya lapor Sinar Harian.

Som Sak berkata, dalam pemeriksaan itu juga, anggotanya menjumpai wang tunai berjumlah RM270 dipercayai hasil jualan dadah selain menemui peralatan-peralatan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di dalam sebuah beg berzip dalam bilik di hadapan ketiga-ketiga suspek.

Katanya, jumlah kesemua rampasan sebanyak RM20,000 dan pihaknya juga percaya ketiga-ketiga suspek menjadikan hotel itu sebagai transit sebelum melakukan pengedaran dadah di sekitar daerah Mualim dan Hilir Perak.

Menurutnya, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes dadah, samun dan langkah-langkah pencegahan dadah.

“Kesemua suspek positif ujian air kencing jenis methamphetamine turut ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Mac untuk membantu siasatan pihak polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");