Berita Hari Ini

Tolak Akta Berita Palsu : Apakah Pembangkang Takut Hilang Senjata PRU 14?

KUALA TERENGGANU: Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris berkata, tindakan pembangkang menolak akta berita palsu yang mahu diwartakan oleh kerajaan itu agak pelik memandangkan pihak pembangkang selalu mendakwa menjadi mangsa berita-berita palsu yang dilemparkan terhadap blok pembangkang.

Menurut beliau, jika benar pembangkang selalu menjadi mangsa berita palsu, maka seharusnya pihak pembangkang menyokong habis-habisan apabila pihak kerajaan mahu mewujudkan akta tersebut bagi mengekang berita-berita palsu tersebar secara meluas di kalangan rakyat di negara ini.

“Sepatutnya, merekalah yang menyokong habis-habisan hasrat kerajaan untuk mewujudkan akta ini memandangkan selama ini mereka mendakwa pihak pembangkang selalu menjadi mangsa berita-berita palsu yang disebarkan melalui media sosial.

“Sebab itu saya merasa pelik, mengapa pula mereka beria-ria menolak kewujudan akta tersebut dan memberikan pelbagai alasan kononnya ini adalah taktik kerajaan untuk menghadapi PRU ke 14 tidak lama lagi.

“Tindakan mereka menolak akta tersebut menimbulkan persoalan, apakah benar dakwaan pihak pembangkang kononnya mereka kerap kali menjadi mangsa kepada berita palsu, ataupun pihak pembangkanglah yang sebenarnya menjadi agen dan punca kepada penyebaran berita palsu di negara ini?,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tambah Dr Najmil yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, penolakan pembangkang terhadap akta berita palsu ini sebenarnya jelas memperlihatkan bahawa mereka tidak senang dengan akta ini, kerana selama ini berita-berita palsu yang tersebar di kalangan rakyat telah memberikan keuntungan politik terhadap blok pembangkang dalam mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

“Biarpun pihak pembangkang mendakwa kononnya mereka ini menjadi mangsa penyebaran berita-berita palsu ini, tetapi hakikatnya berita palsu seperti inilah yang mereka jadikan senjata politik untuk menyerang kerajaan dan memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.

“Bahkan, jika pemimpin pembangkang mendakwa mereka ini mangsa berita palsu, saya kira kenyataan itu tidak tepat memandangkan berita-berita palsu ini lebih banyak disebarkan oleh pihak pembangkang termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi mereka.

“Sudah terlalu banyak contoh yang berlaku di mana pimpinan pembangkang menjadi berita-berita palsu ini sebagai senjata mereka untuk menyerang UMNO dan kerajaan. Lihat saja Rafizi, Raja Fitnah pembangkang yang beberapa kali sudah didapati bersalah kerana memfitnah dan menyebarkan berita-berita palsu kepada rakyat,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa penolakan pembangkang berhubung kewujudan akta berita palsu ini bukanlah kerana bimbang ianya akan menjadi bahan atau senjata BN untuk menghadapi PRU 14, tetapi sebaliknya bimbang kerana mereka tidak boleh lagi menggunakan berita-berita palsu ini sebagai senjata untuk menghentam kerajaan.

“Alasan kononnya kerajaan akan menggunakan akta ini sebagai senjata untuk mengekang penyampaian maklumat kepada rakyat kerana PRU ke 14 sudah hampir tiba hanyalah semata-mata alasan yang dibuat oleh pihak pembangkang untuk menolak akta tersebut.

“Sedangkan hakikatnya, pembangkang tidak mahu akta itu diwujudkan kerana ia seolah-olah menumpulkan senjata politik yang mereka guna pakai selama ini bagimembina persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.

“Dan sekiranya akta ini dilaksanakan kerajaan, sudah pastinya mereka akan kehilangan senjata yang paling ampuh yang selama ini diguna pakai untuk mengelirukan dan membina persepsi negatif rakyat terhadap kepimpinan UMNO dan kerajaan,” katanya.

– MediaUMNO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");