Berita Hari Ini

Transformasi Dilakukan Najib Manfaatkan Rakyat: Mahdzir

PADANG TERAP: Banyak transformasi telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sejak memegang jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 2009 yang telah memanfaatkan negara dan rakyat, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menerusi laporan Bernama, beliau berkata transformasi itu membabitkan pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, sosio dan politik dalam usaha membangunkan negara ini.

“Satu daripadanya ialah projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak (dan Sabah)… ekonomi negara juga semakin baik apabila berkembang sehingga 5.9 peratus seperti diumumkan oleh Bank Negara Malaysia dan kalau ikut penarafan dari segi ekonomi ia semakin bertambah baik berbanding dahulu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jualan Sentuhan Kasih di Pusat Komuniti Cikgu Hashim di Kuala Nerang, dekat sini hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata dalam bidang pendidikan pula berlaku transformasi besar terutamanya melibatkan pendidikan prasekolah yang terus menjadi agenda kerajaan dalam usaha memantapkan lagi aspek pendidikan negara di zaman yang semakin mencabar ini.

Sehubungan itu, beliau yakin rakyat tidak mudah tertipu dengan tuduhan liar pembangkang bahawa tiada pembangunan dilakukan Najib sebagai perdana menteri.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata laporan diterimanya daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan mendapati wujud kecuaian dalam kejadian seorang pelajar maut terkena bilah mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan Tuanku Abdul Rahman (STAR), Gemas, Negeri Sembilan pada 13 Feb lepas.

“Saya telah baca laporan tersebut dan sah memang berlaku kecuaian di pihak kontraktor pembersihan dan pengurusan sekolah. Kes ini melibatkan polis tetapi tindakan dalaman dari pihak kita terhadap pengurusan sekolah telah diambil,” katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, seorang pelajar STAR Gemas Nur Afini Roslan, 14, maut selepas bilah mesin potong rumput terpelanting dan mengenai kepalanya, manakala dua lagi pelajar Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14, cedera pada bahagian telinga kanan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");