Isu Panas

Tujuh Kerusi Panas Parlimen Jadi Tumpuan

KUANTAN: Ramai beranggapan Pahang sekali lagi bakal menjadi negeri ‘simpanan tetap’ Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersandarkan rekod cemerlang parti itu mengemudi keputusan dua pertiga majoriti untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Rekod pada dua siri PRU lalu menyaksikan Pahang masih menjadi penyumbang tetap DUN untuk BN dengan 38 daripada 42 kerusi pada 2008 dan 30 daripada 42 kerusi pada 2013 selain tidak pernah jatuh ke tangan pembangkang.

Bagi kerusi Parlimen pula, pada PRU-12 BN menang 12 kerusi, manakala pembangkang dua kerusi iaitu Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan. Pada PRU-13 pula BN hanya menang 10 kerusi dan pembangkang menambah dua kerusi lagi iaitu Parlimen Raub dan Temerloh.

Wujud cabaran kepada parti

Justeru, beberapa pemerhati dan ahli politik berpendapat PRU-14 akan menyaksikan saingan sengit di tujuh kerusi panas Parlimen, yang turut bersandarkan faktor landskap geo-politik masa kini, sekali gus mewujudkan cabaran kepada BN atau pakatan pembangkang untuk mempertahankannya atau merampas semula.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berpendapat PRU-14 kali ini menyaksikan lima kerusi panas iaitu di Parlimen Cameron Highlands, Raub, Temerloh, Indera Mahkota dan Kuantan, atas beberapa faktor seperti rekod PRU-13, keadaan politik terkini serta beberapa isu tempatan dan nasional.

BN mampu rampas kembali kerusi

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA itu optimis kerusi Raub, Kuantan dan Indera Mahkota mampu dirampas semula sekiranya segala isu setempat dapat ditangani, selain calon BN yang mesra rakyat.

Katanya, untuk Parlimen Temerloh sudah tentu UMNO dan BN akan turun berhabis-habisan untuk merampas kembali kerusi yang ‘dipinjamkan’ kepada PAS selama sepenggal dengan mengharapkan kesepakatan jentera akar umbi setiap parti komponen.

Pandangan Lian Ker itu dipersetujui Pengerusi Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang menambah kerusi Parlimen Bentong dan Bera juga dianggap sebagai kerusi panas di Pahang.

Katanya, faktor pengundi Cina di Bentong memainkan peranan dalam kemenangan BN di kawasan yang mungkin akan dipertahankan Presiden MCA, yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

“Ia bergantung atas kebijaksanaan dia (Tiong Lai) untuk menarik kembali sokongan pengundi Cina dan menyatukan kembali mereka untuk menyokong BN. Begitu juga di Bera memerlukan perpaduan kaum di kawasan itu untuk menjadi kunci kemenangan BN,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkeyakinan Pahang masih lagi dikuasai BN.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");