Membawang Hari Ini

‘Tunggu Reda, Beri Kami Ruang…’

PORT DICKSON: “Kehilangan ini amat menyedihkan… beri kami ruang.”

Nada hiba Muhamad Ali Riduan, 30-an, tidak dapat disembunyikan susulan tragedi anak perempuannya berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat lemas dalam kereta di tempat letak kenderaan sebuah kolej kemahiran di sini, semalam.

Reda atas takdir menimpa anak bongsunya itu, beliau berkata isterinya, Hasmah Masroh, 32, terlalu sedih dan kerap menangis setiap kali mengenang permata hati yang dimanjakan selama ini.

Bagaimanapun, Muhamad Ali enggan mengulas panjang kerana bimbang menjejaskan siasatan polis.

“Kami baru pulang dari Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson bagi memberi keterangan. Biarlah keadaan reda dan isteri saya masih trauma.

“Apa yang berlaku bukan kehendak kami dan tidak disengajakan. Kejadian ini terlalu tragis untuk ditanggung kami sekeluarga.

“Saya minta maaf kerana kami masih bersedih atas kehilangan ini,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Penerangan MIC, Datuk VS Mogan, di rumahnya di Taman Hartamas Sunggala di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Dalam kejadian semalam, Nur Awfa Humaisha ditemui meninggal dunia akibat sesak nafas selepas tertinggal dalam kereta ibunya selama kira-kira empat jam di tempat letak kenderaan kolej berkenaan.

Difahamkan, kanak-kanak itu masih tidur ketika didukung ibunya dan diletakkan di tempat duduk belakang kereta mereka.

Bagaimanapun, wanita berkenaan terlupa mengenai anaknya itu dan terus memasuki pejabat untuk bekerja.

Perkara itu hanya disedarinya kira-kira empat jam kemudian lalu bergegas ke kereta sebelum mendapati tubuh anaknya sudah kebiruan.

Kanak-kanak itu dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

Jenazah Nur Awfa Humaisha dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Kemang, petang semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");