Isu Panas

Umno Kelantan Yakin Mampu Buat Kejutan

TANAH MERAH: Umno Kelantan yakin perubahan besar dan menggemparkan akan berlaku di Tanah Merah dalam usaha BN memenangi kerusi parlimen dan tiga Dun pada PRU14 nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keyakinan tinggi itu berdasarkan kepada kegigihan dan kerja kuat ditunjukkan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz bagi mencapai matlamat tersebut.

Bahkan, katanya, beliau meletakkan harapan tinggi untuk melihat kemenangan BN di Parlimen Tanah Merah terutama di Dun Bukit Panau dan Dun Kemahang yang dianggap kubu kuat Pas.

“Maknanya kita nak Umno Tanah Merah beri kejutan kepada seluruh negara. Kalau dulu Dun Bukit Panau dan Kemahang ini ‘lubuk’ Pas tapi kali ini, kita nak ‘putihkan’ kedua-dua Dun ini.

“Saya letak harapan tinggi untuk kita rampas Dun Bukit Panau dan Kemahang kerana kemenangan kita di 31 kerusi Dun yang kita sasarkan di Kelantan termasuk kemenangan dua kerusi ini,” katanya.

Mustapa berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama kepimpinan dan jentera Umno Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batang Merbau di pejabat Dun Kemahang, semalam, sebagaimana dilaporkan Sinar Online.

Hadir sama, Ikmal Hisham; Adun Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapa; Pengarah Dun Kemahang, Baharudin Yusof; timbalannya, Wan Rakemi Wan Zahari dan Pengarah Dun Bukit Panau, Dayang Saniah Awang Hamid.

Mustapa berkata, bagi Dun Kemahang yang dikenali sebagai kawasan ‘hitam’ kepada BN, hasrat merampas Dun itu bukan lagi perkara luar biasa melihatkan semangat dan perubahan ditunjukkan rakyat.

“Kalau nak menang di Kelantan, kena menang di Dun Kemahang dan kalau nak menang di Dun Kemahang, kena menang di PDM Batang Merbau.

“Kalau dulu, PDM ini kita (BN) tak boleh masuk dan orang kita waktu itu boleh dikira dengan jari tetapi sekarang, sudah ramai dan ada pula pemimpin anak tempatan,” katanya merujuk kepada Wan Rakemi.

Tambahnya, perkembangan politik semasa termasuk pendedahan demi pendedahan dibuat bekas pemimpin Pas membuktikan persepsi dan tanggapan bahawa parti Islam itu ‘maksum’ adalah tidak benar.

“Kalau dulu, kita ingatkan semuanya comel belako tapi sekarang rakyat sudah nampak ada pemimpin Pas didakwa terlibat pelbagai masalah seperti rasuah dan salah guna kuasa,” jelasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");