Berita Hari Ini

Undang-Undang Perlu Elak Lelaki Masuk Koc Merah Jambu

KUALA LUMPUR: Koc Merah Jambu, kos khas yang diperuntukkan kepada penumpang wanita bagi perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang diwujudkan sejak lapan tahun lepas seolah-olah tidak menepati matlamatnya.

Koc yang menjanjikan keselamatan buat penumpang wanita, sering diceroboh penumpang lelaki, malah berlaku beberapa kes seperti mencabul kehormatan serta pertelingkahan antara penumpang lelaki dan wanita.

Sehubungan itu, Persatuan Wanita Unity Malaysia (PERWIM) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap lelaki yang menyalahgunakan koc tersebut.

Pengerusi PERWIM, Ema Syuhaili Sukor, berkata ia penting supaya penumpang lelaki patuh dengan peraturan yang ditetapkan, sekali gus menghindar penumpang wanita daripada diganggu oleh lelaki yang sengaja mengambil kesempatan,

“Sudah banyak kes yang berlaku melibatkan penumpang wanita dan masalah ini berterusan kerana tiada tindakan undang-undang. Pihak bertanggungjawab tidak sepatutnya memandang remeh dan sepi dalam masalah ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Ema Syuhaili turut mencadangkan KTMB memperbanyakkan pemasangan ‘loceng kecemasan’ di dalam koc komuter bagi membolehkan bantuan segera dapat diberikan jika berlaku kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kerajaan sedang merangka untuk meminda peraturan berkaitan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap lelaki yang memasuki koc wanita.

“Buat masa ini belum ada sebarang peraturan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil. Namun, pihak KTMB terus membuat pemantauan secara berkala di dalam komuter dan di stesen Komuter,” katanya.

Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim pula berpendapat penumpang lelaki yang menaiki koc wanita perlu menyedari dan menganggap tindakan mereka itu adalah perkara yang memalukan.

“Walaupun belum ada perundangan, golongan lelaki perlu beringat bahawa tujuan koc wanita diwujudkan adalah bagi mengelak berlakunya kejadian jenayah dalam kalangan penumpang wanita seperti kes ragut dan cabul semasa berhimpit-himpit di dalam komuter,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");