IPOH: Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Perak telah memeterai satu usahasama dengan menyediakan peluang kepada golongan belia untuk terlibat dalam perniagaan francais produk Harumi Fried Chicken.
Ketua Pegawai Eksekutif YBUDR, Hairul Anwar Mohammad Noor berkata pihaknya terlibat dengan menyediakan pinjaman RM6,000 selama 2 tahun di bawah skim mikro kredit tanpa faedah.
Jelas beliau lagi, menerusi skim berkenaan, peminjam hanya membayar sebanyak RM250 sebulan.
Katanya, pada peringkat awal seramai 10 orang, di bawah umur 40 tahun, akan diambil sebagai perintis.
“Sekurang-kurangnya kita dapat memberi peluang perniagaan kepada mereka yang ingin berjaya dalam bidang ini.
“Saya difahamkan salah seorang perniaga pernah mencapai keuntungan RM25,000 sebulan,” katanya.
Mengulas lanjut tentang inisiatif ini Hairul berkata, kesemua pemohon harus menghadiri kursus yang melibatkan bimbingan, pengurusan perniagaan, kewangan dan pemasaran terlebih dahulu sebelum YBUDR memilih individu yang layak mendapat pinjaman.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri(MBN) Perak, Aswannuddin Hariffudin berkata, pihaknya mensasarkan 60 orang usahawan belia akan terlibat dalam perniagaan ini.
“YBUDR ada pemantauan mereka. Kita dan Harumi juga akan lakukan perkara yang sama di mana jika terdapat kejatuhan nilai jualan kepada usahawan kita, MBN dan Harumi akan datang, tanyakan sendiri kepadanya dan membuat pemeriksaan kenapa ia berlalu.
“Ia secara tidak langsung menjadikan MBN turut terlibat bagi memastikan perniagaan kekal,” ujarnya kepada media selepas penyempurnaan Majlis Serahan Cek Pinjaman di bangunan YBUDR, dekat sini, pada Khamis.
Ketika ditanya mengapa produk Harumi Fried Chicken menjadi pilihan, Aswannuddin berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan secara teliti terhadap proses pembikinan makanan produk tersebut semenjak April tahun lalu dan ianya amat memuaskan.
“Kita sudah tengok kilang. Kebersihan dan halal yang diterapkan Harumi ini baik. Memandangkan mereka juga turut membekalkan ayam kepada semua francais sebuah restoran makanan segera terkemuka negara,” katanya.
Difahamkan, Harumi Fried Chicken terlibat dengan menjual dan membekal pelbagai jenis barangan makanan berasakan isi ayam, ‘pop corn’ ayam, sate ayam dan sebagainya.
Belia yang berminat, mereka boleh berusan dengan MBN Perak ataupun mana-mana pejabat majlis daerah masing-masing.