Sukan Hari Ini

Yuran Daftar Ejen Cekik Darah

KUALA LUMPUR: Bayaran pendaftaran RM47,700 setahun yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan lesen sah sebagai ejen (perantara) pemain di negara ini menjadi faktor utama mereka enggan mendaftarkan diri dengan badan induk itu.

Pengakuan itu didedahkan seorang ejen yang enggan namanya didedahkan dengan mendakwa jumlah bayaran yang dikenakan itu untuk mendaftarkan diri dalam Sistem Perantara FAM bagi mendapatkan lesen yang sah, antara yang tertinggi di dunia.

“Yuran itu terlalu tinggi, mana boleh dikenakan bayaran sehingga hampir RM50,000. Saya juga ada mendaftar untuk menjadi ejen di Australia dan bayaran dikenakan hanya AS$550 (RM2,144), di Korea Selatan sekitar AS$1,000 (RM3,899) dan Colombia hanya AS$600 (RM2,339) setahun.

“Jadi, mana boleh FAM letakkan yuran terlalu tinggi, ini mustahil. Mungkin ini antara sebab ada ejen yang tidak mahu mendaftar dengan badan induk itu,” katanya yang sudah menjadi ejen pemain di Malaysia sejak 2012 lapor Berita Harian.

Sukan NSTP semalam mendedahkan hanya empat ejen berdaftar dengan FAM sejak badan induk itu memperkenalkan Sistem Perantara tahun lalu, selari dengan peraturan FIFA sebaik pemansuhan ejen FIFA secara global pada 2015.

Jumlah itu dilihat tidak masuk akal memandangkan pasukan Liga Super dan Liga Perdana memiliki 108 pemain import dan 612 pemain tempatan musim ini.

Ini bermakna ejen haram mendominasi pasaran pemain Liga-M sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai nasib pemain dan pasukan tempatan terutama apabila berlakunya pertelingkahan berhubung bayaran kontrak seperti sebelum ini.

Menerusi peraturan baharu Sistem Perantara FAM itu, badan induk itu menetapkan ejen tempatan perlu membayar RM10,600 untuk membuat pendaftaran selama setahun manakala ejen asing RM47,700.

Bagaimanapun, ejen yang sudah mendaftar dan mahu memperbaharui lesen mereka untuk tahun berikutnya hanya perlu membayar separuh daripada yuran pendaftaran berkenaan.

Beliau yang pernah membawa masuk pemain import untuk beraksi dengan beberapa pasukan Liga Super seperti Kelantan, Pulau Pinang dan PKNS FC berkata, FAM seharusnya mengkaji semula jumlah yuran tahunan ejen berkenaan.

“Untuk yuran pendaftaran ejen tempatan itu pada saya OK, tapi untuk ejen asing jumlah itu terlalu tinggi. Mungkin FAM perlu kaji semula bayaran pendaftaran itu jika boleh dikurangkan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");