Isu Panas

Zairil, Dyana Naik Pelamin Hujung Tahun Ini

IPOH: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, dijangka berkahwin dengan bekas calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 2014, Dyana Sofya Mohd Daud, hujung tahun ini.

Memetik laporan BH Online, Zairil, 36, lengkap berpakaian baju Baju Melayu memberitahu wartawan yang beliau sangat gembira kerana majlis pertunangan hari ini berjalan dengan lancar.

“Saya hanya ingin mengatakan bahawa saya sangat gembira, kita semua sangat gembira, keluarga saya dan Dyana, dan sudah tentu ini adalah acara peribadi untuk kedua-dua keluarga.

“Kami menghargai jika anda boleh menghormati majlis ini kerana ini bukan majlis umum tetapi pada masa yang sama, saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang kerana hadir. Untuk komen lanjut, saya akan buat pada masa lain,” katanya ketika ditemui di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Apabila ditanya sama ada mereka akan berkahwin, Zairil berkata majlis perkahwinan itu dijangka diadakan akhir tahun ini.

Walaupun ramai yang tahu mengenai hubungan dua ahli politik DAP itu, tidak ada antara mereka yang mengesahkan sejauh mana hubungan Zairil dan Dyana.

Spekulasi bahawa Zairil dan Dyana akan bertunang di sini hebat diperkatakan sejak semalam. Berita mengenai pertunangan mereka menjadi viral di Facebook apabila netizen menyampaikan mesej selamat bertunang kepada pasangan itu.

Pada Oktober 2014, kedua-duanya terpalit dengan kontroversi selepas beberapa keping gambar intim mereka tersebar di laman sosial namun dinafikan pasangan terbabit.

Pasangan itu sekali lagi menjadi perhatian pada April tahun lalu selepas video individu yang didakwa mereka menari mesra turut viral di laman sosial.

Dyana Sofya dalam kenyataan di laman Facebook ketika itu, bagaimanapun tidak menafikan mahupun mengesahkan individu dalam foto itu adalah beliau sebaliknya hanya menyifatkan penyebaran gambar itu sebagai pencerobohan kehidupan peribadi dalam kehidupan seseorang.

Zairil ketika itu pula menafikan individu yang menari mesra di dalam video itu ialah beliau dan menyifatkannya sebagai mengarut.

Zairil sebelum ini dikatakan sudah berkahwin, namun mengikut maklumat yang turut viral di media sosial, beliau sudah bercerai Oktober tahun lalu tetapi tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");