Sukan Hari Ini

150 Atlet, Pegawai Malaysia Sertai Pembukaan Sukan Komanwel 2018

GOLD COAST – Seramai 150 atlet dan pegawai Malaysia akan  menyertai acara perbarisan sempena upacara pembukaan rasmi Sukan Komanwel 2018 di sini, Rabu.

Setiausaha Kehormat Majlis Sukan Olimpik (MOM) Datuk Low Beng Choo berkata tidak  semua atlet negara akan mengambil bahagian dalam acara perarakan masuk kontinjen itu, khususnya mereka yang terlibat dengan pertandingan pada Khamis.

“Kontinjen negara akan tampil mengenakan busana ciptaan Cosry, baju  Melayu dan baju kurung berwarna merah dan biru…baju yang dipakai ketika Sukan SEA ke-29 tahun lepas.

“Tidak semua atlet menyertainya kerana kita mahu atlet yang acara mereka bermula keesokan hari (Khamis) mendapatkan rehat secukupnya,” katanya.

Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi temasya sukan empat tahun sekali itu.

Temasya sukan berprestij yang bakal disertai 6,600 atlet dan pegawai dari 71 negara Komanwel itu akan diadakan di Stadium Carrara yang boleh memuatkan 35,000 penonton.

Dalam perkembangan lain, Beng Choo menasihati atlet agar berhati-hati dengan pengambilan makanan  bagi mengelak perkara tidak  diingini.

Beliau berkata atlet negara juga tidak digalakkan untuk mengambil makanan daripada luar perkampungan sukan.

“Pengurus pasukan setiap sukan diberi arahan untuk sentiasa berpesan kepada atlet agar berhati-hati ketika makan dan bukan sahaja terhad kepada bahan terlarang yang boleh menyebabkan positif doping,” katanya selepas upacara menaikkan bendera kontinjen di perkampungan sukan di Universiti Griffith.

Kontinjen negara terdiri daripada 178 atlet dan 95 pegawai akan mengambil bahagian pada temasya sukan itu yang akan membuka tirai esok sehingga 15 April.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");