Perak Hari Ini

25 Cawangan myPPP Dun Buntong Minta Penjelasan Tindakan Pemecatan M.Kayveas

IPOH:Sebanyak 25 cawangan myPPP Dun Buntong di sini tampil menyuarakan ketidakpuasan hati dan meminta penjelasan daripada kepimpinan parti berhubung pemecatan bekas Presiden parti itu Tan Sri M Kayveas.

Timbalan Pengerusi myPPP Dun Buntong,A.Iruthiyam Sebastiar berkata ahli cawangan merasakan tindakan pemecatan oleh Majli Tertinggi parti adalah tidak adil dan disifatkan tidak mengikut perlembagaan yang telah ditetapkan.

“Apakah fasal atau peraturan dalam Perlembagaan myPPP yang dilanggar oleh Presiden sehingga beliau dipecat? Malah menurut Fasal 9.9.1.4 Presiden Parti sahaja berkuasa untuk memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi dan Perlembagaan myPPP tidak menyatakan kelonggaran mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi boleh dipanggil tanpa kehadiran presiden. Siapakah yang memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi? Bila?, Siapakah yang mempengerusikan mesyuarat tersebut?, “soalnya dalam satu sidang media di Pejabat myPPP Dun Buntong hari ini.

Justeru, my PPP Buntong mahu meminta penjelasan terperinci mengenai tindakan tersebut yang menjadi isu dalaman parti kini malah menyifatkannya sebagai tindakan tidak teratur dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Katanya berdasarkan kenyataan media oleh Naib Presiden myPPP Datuk Dr Loga Bala Mohan membuktikan kepimpinan parti sememangnya mengetahui permintaan dua kerusi parlimen dan tiga kerusi Dun serta kepentingan utama diberikan kepada kerusi di Cameron Highlands dan lain-lain diserahkan kepada keputusan BN.

“Tuduhan bahawa Datuk Seri M.Kayveas didapati bersalah kerana beliau telah bertindak berseorangan dalam pengagihan kerusi bersama Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak tanpa pengetahuan pemimpin lain dalam parti adalah tidak benar dan tidak berasas.

“Siapakah yang melantik Datuk Loga Bala sebagai calon di Segambut? dan bilakah tarikh surat perlantikan dikeluarkan yang menyatakan Datuk Loga Bala sebagai calon oleh myPPP kepada Barisan Nasional?.

“Mengikut Perlembagaan parti myPPP Malaysia Majlis Tertinggi mempunyai kuasa untuk menubuhkan satu perlembagaan displin untuk menyiasat dan dikemukakan kepada majlis tertinggi bagi tindakan selanjutnya.Bilakah lembaga displin ditubuhkan untuk mengambil tindakan terhadap Presiden dan siapakah pengerusi lembaga displin tersebut? soalnya lagi.

A.Iruthiyam turut mempersoalkan proses tindakan yang diambil telah berlangsung dalam masa 12 jam sahaja dan sepatutnya pemberian notis tujuh hari perlu dikeluarkan kepada ahli terlebih dahulu bagi memanggil dan menganjurkan Mesyuarat Majlis Tertinggi.

Bagaimanapun kesemua 25 cawangan daripada 27 cawangan myPPP Dun Buntong keseluruhannya tetap menyatakan sokongan penuh dan berada bersama BN.

Terdahulu pada 25 April lalu, Tan Sri M Kayveas dipecat sebagai Presiden dan ahli MyPPP oleh Lembaga Disiplin Parti berkuatkuasa serta merta,menurut Setiausaha Agung MyPPP, Datuk Mohan Kandasamy.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");