Jenayah

3 Suspek Aktif Curi Motosikal, Ragut, Samun Ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki disyaki aktif dalam kegiatan curi motosikal, ragut dan samun, ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Wangsa Maju di sini, kelmarin.

Seorang daripada suspek terbabit diberkas di rumahnya di Seksyen 4, Wangsa Maju, manakala dua lagi ditahan di sebuah stesen minyak di Seksyen 5 kawasan sama.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata hasil pemeriksaan dalam serbuan di rumah seorang suspek berkenaan pada jam 2 petang, polis menemukan sembilan beg tangan wanita dan 11 beg duit pelbagai jenama yang disyaki dicuri.

“Yang turut ditemui, tiga rim tayar motosikal jenis Yamaha Y15, dua motosikal Yamaha Y15 dan sebuah motosikal Honda RS150 disyaki dicuri serta diletakkan di sekitar kawasan kediaman suspek.

“Polis juga merampas sebilah parang berukuran 14 sentimeter disyaki digunakan suspek ketika menyamun, dan beberapa peralatan dipercayai untuk kegiatan curi motosikal.

“Hasil semakan mendapati suspek berusia 23 tahun itu memiliki pelbagai rekod jenayah lampau, iaitu ragut, curi motosikal dan dadah,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, dua suspek lain berusia 22 dan 23 tahun ditahan pada jam 12.15 tengah hari kerana disyaki rakan subahat dalam kegiatan mencuri motosikal.

“Mereka ditahan bersama dua motosikal jenis Yamaha 135 LC yang satu daripadanya dilaporkan hilang dan menggunakan nombor plat palsu.

“Seorang daripada suspek itu cuba bertindak agresif, namun kedua-duanya berjaya ditahan, manakala dua motosikal berkenaan turut dirampas,” katanya.

Katanya, dua suspek berkenaan juga memiliki rekod jenayah lampau dalam kes ragut, dadah dan curi motosikal.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");