Perak Hari Ini

Anda Jelas Atau Tidak Tentang Janji Manis Manifesto PRU?

Semakin negara menghampiri pilihan raya umum ke-14, semakin kerap perkataan ‘manifesto’ menjadi topik perbincangan di media massa dan perbualan rakyat serta sembang politik di kedai kopi.

Malah masyarakat kebelakangan ini juga didedahkan dengan pelbagai penjelasan mengenai manifesto politik khususnya berhubung pencapaian, janji-janji yang dikotakan dan tidak kurang juga janji-janji yang tidak tertunai.

Adakah anda sendiri jelas mengenai perkara yang dimaksudkan dengan manifesto? Menurut kamus, manifesto adalah satu pernyataan, janji atau deklarasi secara bertulis yang digunakan seseorang atau sebuah parti politik semasa kempen pilihan raya bagi mendapat perhatian, simpati dan sokongan pengundi.

Pihak pembangkang dan Kerajaan masing-masing mengemukakan janji masing-masing bertujuan hanya satu meraih kepercayaan rakyat untuk mendapat mandat memerintah Malaysia.

Setakat manakah janji-janji berkenaan mampu diingati semua pengundi?

Adakah anda ingat segala akur janji yang dizahirkan parti politik ini semasa pilihan raya umum yang lalu atau masih tertanya apakah dia dan bergegas mencari semula paparan manifesto di laman Google?

Kebanyakkan daripada kita seakan tidak kisah dan ambil maklum mengenainya malah menurut Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali dalam satu laporan akhbar tempatan terdapat satu kajian, yang dijalankan pada 2009 terhadap sekumpulan belia berumur antara 21 hingga 40 tahun, mendapati kebanyakan orang telah lupa dengan apa yang ditawarkan kepada mereka semasa kempen pilihan raya umum 2008.

Jadi sebelum kita menyalahkan pihak kerajaan atau berpihak kepada pihak pembangkang segala maklumat dan pemahaman perlulah jelas kerana menjelang pilihan raya umum yang semakin hangat diperkatakan, selain kriteria calon yang dipilih untuk bertanding, kebijaksanaan dalam menawarkan manifesto yang menarik akan menjadi antara faktor penentu kemenangan atau kekalahan sesebuah parti.

Pengundi Muda Faham Mengenai Manifesto?

Peraktoday meninjau dan bertanyakan kepada golongan muda sama ada mereka memahami dan faham mengenai manifesto yang dicanang semua parti politik kini.

Menurut Saliha Abu Bakar, manifesto yang dikemukakan oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang diketahuinya namun tidaklah secara menyeluruh dan pemahaman serta tumpuan diberikan kepada maklumat yang menarik seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), perumahan dan keperluan wanita.

Manakala bagi Mohd Azman Bakri, dia hanya mengetahuinya daripada laman sosial dan berpendapat ia hanya janji manis dan belum ada kepastian untuk dilaksanakan malah sekadar janji untuk PRU semata.

“Malas nak ambil tahu janji manis PRU sahaja tu,” katanya.

Kebanyakkan pengundi muda seakan masih belum jelas mengenai peranan manifesto itu sendiri malah dengan mudah memberi andaian buruk tanpa meneliti dan memahami baik buruknya terlebih dahulu.

Perbandingan Manifesto Mesra rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

BR1M Naik!

Topik hangat diperkatakan pastinya BR1M, pihak BN mengumumkan penambahan jumlah dan dua kategori baru bantuan itu yang mendapat pujian juga tidak kurang kritikan daripada pelbagai pihak.

Namun di saat peningkatan kos sara hidup ini, bantuan BR1M sedikit sebanyak membantu terutama golongan yang memerlukan.

Memetik sumber laporan Utusan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan bantuan secara terperinci menerusi angka-angka tepat kepada rakyat termasuk pemberian untuk kategori baharu dan bantuan sekali bayar kepada anak-anak penerima BR1M yang bakal mendapat RM1,500 apabila melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.

Sebelum ini, Pakatan Harapan sering ‘memperlekehkan’ BR1M yang dianggap sebagai ‘dedak’ bagaimanapun mereka menyelitkan juga BR1M dalam manifesto sehingga mahu menubuhkan agensi khas mengambil alih pengurusan BR1M tetapi tidak dinyatakan pula nilai yang mahu diberi.

Peluang Pekerjaan

Najib semasa mengumumkan manifesto BN juga turut berjanji akan mewujud tiga juta peluang pekerjaan makala Pakatan Harapan katanya hanya berjanji sebanyak sejuta peluang itu.

Golongan muda terutamanya graduan lepasan ijazah sememangnya teruja dengan janji yang ditawarkan BN apabila mengatakan akan mewujudkan sehingga tiga juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun pentadbiran termasuk 1.3 juta di Malaysian Vision Valley manakala Pakatan Harapan pula yang tidak mahu ketinggalan menawarkan sejuta peluang pekerjaan kepada golongan muda, bagaimanapun tidak dinyatakan secara khusus di mana dan bagaimana mereka mahu mencipta peluang tersebut.

Hapus GST

Pakatan Harapan menawarkan pelbagai janji manis termasuk ingin menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kembali kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekali gus dikhuatiri akan mengakibatkan pendapatan negara sehingga RM20 bilion.

BN pula mahu menubuhkan sebuah bank khas bagi menguruskan pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah khusus untuk rakyat.

Memetik manifesto pakatan pembangkang muka surat 138, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dalam satu kenyataan ada berkata Pakatan Harapan membuat banyak janji seperti memberi lebih banyak wang kepada rakyat tetapi tidak menjelaskan rancangan mereka untuk menggantikan pendapatan yang hilang.

Janji menghapuskan GST memerlukan penelitian mendalam mengenai impaknya kepada ekonomi negara dan rakyat kerana pendekatan ini bukan asing kerana dikuatkuasakan lebih 160 negara terbukti membantu menangani pelbagai masalah percukaian, termasuk isu peniaga mengelak membayar cukai.

Manifesto Yang Mana Lebih Terperinci?

Kerajaan dalam pembentangan manifesto berjanji akan memastikan barang keperluan asas dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) iaitu bertindak mengecualikan GST ke atas lebih 578 barang seperti beras, ayam, telur, ikan, sayur, roti, buah-buahan, petrol, surat khabar dan ubat-ubatan.

Manakala bagi PH pula, manifesto dibentangkannya dilihat hanya janji manis dan tidak mudah memperdaya pengundi, malah Dr Mahathir sendiri mengakui manifesto pakatan itu bagi PRU-14 bukan janji yang pasti dilaksanakan.

Malah memetik laporan PH dikatakan sekadar menggunakan manifesto 10 perkara, yang kononnya meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama menjadi kerajaan, namun sebahagian besarnya adalah kitar semula daripada manifesto pakatan sebelum ini atau Buku Jingga yang ditawarkan pada PRU-13.

Bagaimanapun, semua pihak atau pengundi di luar sana diberikan hak dalam sistem demokrasi negara memilih parti mana yang akan diberikan mandat memerintah, namun pemilihan itu haruslah berpandukan keputusan yang mampu memberikan kehidupan lebih baik daripada sekarang.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");