Sukan Hari Ini

Arsenal Terselamat Tapi Koscielny Bengang

MOSCOW: Kapten Arsenal, Laurent Koscielny mengakui impian Gunners hampir dileburkan CSKA Moscow sebelum bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat keputusan seri 2-2 pada aksi suku akhir kedua Liga Europa, awal pagi tadi.

Keputusan itu memastikan tiket separuh akhir buat Arsenal yang mara dengan keputusan agregat 6-3 dibantu dengan kemenangan 4-1 pada aksi pertama di London, minggu lalu.

Memetik laporan BH Online, Arsenal tampak melakukan begitu banyak kesilapan di CSKA Arena dan ketinggalan menerusi jaringan Fedor Chalov dan Kirill Nababkin pada kedua-dua babak permainan untuk mencetuskan harapan buat tuan rumah.

Begitupun, jaringan Danny Welbeck pada minit ke-75 dan gol masa kecederaan Aaron Ramsey berjaya mengesahkan kemaraan selesa Arsenal ke peringkat empat terakhir sekali gus mengekalkan harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menjuarai Liga Europa.

Tetapi dengan kelab-kelab gergasi seperti Atletico Madrid dan Olympique de Marseille menanti menjelang sesi undian, hari ini, Koscielny berkata Arsenal tidak mampu untuk melakukan kesilapan terutama seperti sejam perlawanan berlangsung di Moscow.

“Ia tidak dirancang. Saya fikir kami terlepas begitu banyak gerakan untuk diberikan kepada rakan sepasukan,” kata Koscielny kepada BT Sport.

“Kami tidak memenangi pertembungan ini. Mereka bermain dengan baik, mempunyai peluang dan mengambilnya. Ia memberikan tekanan kepada kami, jika mereka menjaringkan gol (gol ketiga) kami sudah tersingkir.

“Jadi saya amat gembira kerana kami kembali bangkit, tetapi prestasi kami tidak cukup untuk tahap ini di kejohanan ini.”

Arsenal ketika ini menghuni tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan mempunyai peluang tipis untuk layak ke Liga Juara-Juara dengan menamatkan saingan di tangga keempat terbaik.

Justeru, Liga Europa menjadi harapan terakhir mereka.

“Kami perlu melihat undian terlebih dulu, tetapi kami memerlukan lebih keyakinan dalam permainan kami,” kata pertahanan Perancis itu. “Ia adalah peluang terakhir kami untuk layak ke Liga Juara-Juara, jadi kami akan berjuang sehingga akhir.”

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");