Sukan Hari Ini

Atlet Berbasikal Sapu Bersih Anugerah AST

KUALA TERENGGANU: Raja dan ratu berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negeri Terengganu (AST) 2017, di sini, malam tadi.

Lebih manis, kejayaan dua atlet berbasikal itu menjadikan mereka sebagai atlet paling banyak dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati iaitu masing-masing sebanyak empat kali sejak diperkenalkan pada tahun 1973.

Kejayaan Azizulhasni menjuarai acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Hong Kong 2017 dan menghadiahkan dua emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menjadi faktor utama kepada pemilihannya sebagai Olahragawan Terengganu.

Anak kelahiran Dungun itu mengetepikan empat pencabar lain iaitu Khairul Anuar Mohamad (memanah); Faizal Saari (hoki); Mohd Nafiizwan Mohd Adnan (skuasy) dan Mohd Ali Yaakub (muaythai).

Manakala kejayaan Fatehah yang layak menyertai Coupe Du Monde (Piala Dunia) dan menggondol empat pingat emas KL2017 menjadi faktor penentu kepada pemilihannya sebagai ratu atlet wanita Terengganu.

Pada malam bersejarah itu, Fatehah mengetepikan empat atlet lain iaitu Nur Aliya Ghapar (memanah); Azizatul Asma Abdullah (endurance); Siti Rahmah Mohamed Nasir (pencak silat) dan Alia Sazana Azahari (menembak).

Kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000, piala pusingan, piala iringan serta sijil kepujian yang disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Sementara itu, Zuhairie Ahmad Tarmizi, atlet berbasikal paralimpik yang menggondol empat emas pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Terengganu 2017.

Manakala, anugerah Olahragawati Paralimpik pula disandang atlet berbasikal paralimpik wanita, Nur Shahida Tajudin yang meraih satu perak dan satu gangsa pada temasya sama tahun lalu.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");