Sukan Hari Ini

Azraai Tagih Pengalaman Do-Heon Kutip Mata

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, berharap kapten pasukan, Kim Do-Heon dapat memainkan peranan lebih agresif dalam membantu jentera serangan bagi memastikan misi melakar kemenangan pada perlawanan akan datang tercapai.

Bekas pengendali kebangsaan itu berkata, walaupun khidmat Do-Heon setakat ini dianggap baik, tetapi pihaknya menuntut perancang utama bahagian tengah berasal dari Korea Selatan itu, memberikan aksi yang lebih mantap.

Menurutnya, selaku pemain paling berpengalaman dalam pasukan ini kerana pernah beraksi dua kali di pentas Piala Dunia dan sekali di Olimpik, khidmat terbaik Do-Heon amat ditagih dalam membantu pasukan mencapai kemenangan.

“Setakat ini ketumpulan jentera serangan pasukan begitu ketara kerana kita hanya mengharapkan seorang pemain (Nicolas Velez) untuk menerajui bahagian depan.

“Situasi itu menyukarkan kita untuk menjana barisan depan yang lebih mantap dan Do-Heon dilihat berupaya untuk membantu dalam usaha mendapatkan gol.

“Saya mengharapkan dia (Do-Heon) dapat bertindak lebih agresif dalam menjana bahagian tengah dan seterusnya membantu jentera serangan,” katanya lapor Berita Harian.

Selepas mengharungi enam perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan sekadar merakamkan satu kemenangan dan satu seri untuk menduduki tangga terbawah carta dengan empat mata.

Azraai yang mula mengambil alih tugas penting itu pada awal Mac lalu, juga mengharapkan sentuhan pemain tempatan lain seperti Khairul Izuan Rosli dan Muhamad Fakrul Aiman Sidid, dalam memperkasakan lagi jentera serangan pasukan itu.

Justeru, beliau mengharapkan perubahan positif daripada pemain skuad Hobin Jang Hobin pada pertemuan menentang Selangor, di tempat lawan hujung minggu ini.

“Pemain juga diingatkan supaya tidak hilang fokus pada penghujung saingan yang boleh mengakibatkan pasukan kehilangan mata seperti yang berlaku ketika seri dengan Kelantan, di tempat sendiri, tempohari.

“Saya lihat perkara ini sudah dua kali berlaku dan ia jelas merugikan pasukan dan berharap ia tidak berulang pada pertembungan dengan Selangor nanti.

“Walaupun berdepan dengan pasukan yang berwibawa seperti Selangor, tapi Negeri Sembilan perlu mendapatkan kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");