Sukan Hari Ini

Azroy Terkejut Atlet Negara Positif Doping

PEMENANG pingat emas angkat berat Sukan Komanwel Gold Coast, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, terkilan sekiranya benar kes doping terbaru yang berlaku melibatkan rakan sepasukannya.

Azroy sedar dengan kemelut sukan angkat berat yang sering terpalit dengan kes doping selepas Mohd Hafifi Mansor digantung empat tahun.

Justeru, atlet dari Pahang itu tidak menyangka kes sedemikian berlaku sekali lagi pada saat barisan atlet masih meraikan kejayaan Sukan Komanwel.

Sekiranya benar ia melibatkan atlet angkat berat, Azroy nyata kecewa tatkala dia berusaha ingin membersihkan nama sukan itu daripada kes doping yang kian serius.

Katanya, walaupun masih belum diumumkan secara rasmi siapa atlet yang terlibat, dia hanya mengharapkan rakan sepasukannya itu tabah dan belajar daripada kesilapan.

“Saya agak kecewa memandangkan pemenang gangsa itu adalah dari negeri yang sama dengan saya, iaitu Pahang.

“Saya berlatih sekian lama bersamanya tetapi diharapkan dia bukan atlet yang dimaksudkan.

“Jika nama dia juga yang disahkan, anggap sahaja ia bukan rezekinya,” ujar Azroy, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.

Sementara itu, beberapa atlet negara seperti Ho Ying (pingpong), Muhd Ezuan Nasir Khan (menembak), dan kapten skuad hoki lelaki negara, Mohd Sukri Mutalib, turut mengulas mengenai situasi itu.

“Jika saya berada di tempat atlet itu, saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan kerana bukan mudah untuk mendapat pingat. Tentunya sakit hati jika benar dikesan positif doping,” kata Ho Ying.

“Kita harus lebih berhati-hati apabila melibatkan isu doping. Kami sendiri jika sebelum kejohanan-kejohanan besar memang betul-betul menjaganya,” ujar Ezuan.

“Apa yang saya harapkan semua atlet peka dengan setiap pengambilan makanan sama ada sewaktu atau selepas latihan,” tambah Sukri.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, semalam mengesahkan seorang atlet kebangsaan gagal ujian air kencing ketika beraksi dalam Sukan Komanwel Gold Coast.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");