Berita Hari Ini

BN Melaka Pertaruhkan 13 Muka Baharu

AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) Melaka mempertaruhkan 13 calon muka baharu, termasuk tiga bagi kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Semua muka baharu terbabit memiliki latar belakang berkelulusan akademik yang tinggi, profesional dengan calon paling muda berusia 31 tahun.

Pengumuman pemilihan 34 calon BN Melaka, termasuk 28 DUN itu dilakukan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Idris Haron, yang juga penyandang kerusi DUN Sungai Udang di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, di sini, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Idris dalam pengumumannya, yang penuh sesak dengan wakil media dan penyokong BN itu berkata, semua calon BN Melaka kali ini merangkumi pelbagai latar belakang dan yang terbaik.

Beliau turut mengumumkan bakal mempertahankan kerusi DUN Sungai Udang yang disandangnya.

Bagi calon muka baharu kerusi DUN, Setiausaha MIC negeri, Datuk P Panirchelvam bertanding di Gadek, Nor Azman Hassan (Pantai Kundor); Chua Lian Chye (Pengkalan Batu); Chua Kheng Hwa (Ayer Keroh); Yunus Hitam (Bukit Katil); Melvin Chua Kew Wei (Kota Laksamana); Lee Kiat Lee (Duyong); Lee Chong Leng (Banda Hilir); Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas) dan Koh Chin Han (Bemban).

Dua bekas Ahli Parlimen iaitu Datuk Wira Dr Abu Bakar Mohamad Diah (Parlimen Tangga Batu) dan Datuk Koh Nai Kwong (Parlimen Alor Gajah) akan bertanding masing-masing di kerusi Paya Rumput dan Machap Jaya.

Calon yang dikekalkan adalah Datuk Lim Ban Hong (Klebang); Datuk Wira Ismail Othman (Kuala Linggi); Datuk Md Rawi Mahmud (Tanjung Bidara); Datuk Amirudin Yusop (Ayer Limau); Datuk Sulaiman Md Ali (Lendu) dan Datuk Latipah Omar (Taboh Naning).

Selain itu, Datuk Wira Norpipah Abdol (Rembia); Datuk Ab Wahab Ab Latip (Durian Tunggal); Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan); Datuk Wira Ghazale Muhamad (Rim); Datuk Zaidi Attan (Serkam); Datuk Roslan Ahmad (Merlimau) dan Datuk Hasan Abd Rahman (Sungai Rambai).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Datuk Ng Choon Koon pula ditukarkan ke DUN Kesidang.

Bagi kerusi Parlimen, dua penyandang termasuk Ketua Puteri UMNO, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dikekalkan di Parlimen Masjid Tanah dan Datuk Seri Ahmad Hamzah di Jasin.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam sekali lagi dipilih untuk bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya.

Tiga calon muka baharu turut dipertaruhkan BN Melaka bagi kerusi Parlimen iaitu Ketua Pemuda BN Melaka, Zali Mat Yasin (Tangga Batu), Wong Nai Chee (Alor Gajah) dan Choo Wei Sern (Kota Melaka).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");