Panasnya Hari Ini

BN, Pas Miliki Peluang

PERTEMBUNGAN tiga penjuru di Perak memperlihatkan keunikan tersendiri apabila terdapat kerusi-kerusi yang mempertemukan tiga calon berlainan bangsa.

Jika diteliti, pertembungan tiga kerusi lebih memihak BN berbanding parti lain kecuali DAP kerana majoriti kerusi ditandingi hanya dua penjuru.

Bagaimanapun kehadiran Pas yang bersama Gagasan Sejahtera tidak boleh dipandang rendah kerana mereka turut mempunyai kekuatan tersendiri.

Antara kawasan yang mencuri tumpuan adalah kawasan Dun Tebing Tinggi apabila DAP meletakkan Abdul Aziz Bari sebagai calon begitu juga Pas yang mempertaruhkan Mazlan Mat Isa di kerusi dikatakan mempunyai majoriti 57 peratus pengundi Melayu.

Tetapi BN pula sebaliknya apabila meneruskan tradisi meletakkan calon MCA, Tony Khoo Boon Chuan sebagai calon di kerusi dimenangi DAP PRU13 lalu.

Bagi Dun Chenderiang yang dimenangi BN pada PRU lalu, kerusi yang diwakili MCA itu akan ditandingi calon baharu, Chong Shin Heng selepas penyandangnya Datuk Dr Mah Hang Soon bertanding di kerusi Parlimen Tanjung Malim.

BN pastinya berdepan saingan sengit kerana terpaksa menentang dua calon Melayu dari Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan calon Pas, Nordin Hassan.

Sementara itu bagi kerusi Dun Manjoi pula, tiga nama yang boleh dikatakan besar di negeri ini bakal bertanding iaitu penyandangnya, Ketua Pemuda BN Bahagian Tambun, Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin, Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Hafez Sabri dan Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi.

Pertembungan tiga penjuru ini dilihat condong ke arah calon BN dan Pas kerana mereka memiliki kekuatan sendiri selaku orang muda.

Kerusi Dun Sungai Rapat juga tidak kurang hebatnya apabila kerusi yang disandang calon Pas, Radzi Zainon yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak akan jadi rebutan di antara Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim.

Berdasarkan persempadanan semula, kerusi itu mungkin kekal milik Pas manakala Amanah dilihat sukar kerana ramai pengundi dipindahkan ke kawasan Dun Tebing Tinggi.

Bagi kawasan Parlimen pula, kerusi Tambun antara yang mencuri perhatian apabila penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dikekalkan dan akan berentap dengan Pengerusi Harapan Perak, Ahmad Faizal Azumu serta calon Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Perak, Muhammad Zulkifi Mohd Zakaria.

Ketiga-tiga calon ini punya potensi untuk memenangi kerusi Parlimen itu memandangkan BN sebelum ini dilihat berhadapan masalah dalaman berkaitan perletakan calon mereka.

Di kerusi Parlimen Kuala Kangsar, penyandang dan bekas calon menjadi taruhan parti-parti bertanding.

Pertembungan Datin Mastura Mohd Yazid dan Dr Ahmad Termizi Ramli pastinya mengimbau kenangan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar pada tahun 2016.

Manakala Pas pula meletakkan bekas calon mereka ketika bersama Pakatan Rakyat pada PRU13, iaitu Drs Khalil Idham Lim Abdullah untuk bertanding di kerusi itu.

Peluang lebih cerah buat BN yang belum pernah tewas di kerusi itu sebelum ini dengan dibantu calon baharu di kerusi Dun Manong yang berada di bawah Parlimen Kuala Kangsar.

Satu lagi kerusi DAP yang ditandingi Pas adalah Parlimen Kampar dengan meletakkan calon bukan Islam iaitu M Yougan untuk menentang Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Lee Chee Leong dan calon DAP, Thomas Su Keong Seong.

Kerusi Kampar yang dimenangi DAP sebelum ini pasti mendapat tentangan sengit BN manakala strategi Pas meletakkan calon bukan Islam di kawasan itu tidak menjejaskan pertembungan Harapan dan BN kali ini.

Pertembungan tiga penjuru hanyalah memecahkan undi kerana jika dilihat dari segi sokongan akar umbi ia lebih memihak kepada BN dan Pas kerana kedua-dua parti itu mempunyai jentera serta penyokong yang tersendiri.

Namun, pengundi atas pagar akan menjadi penentu parti mana yang boleh memenangi sesebuah kawasan itu dengan melihat pelbagai aspek seperti calon, manifesto dan isu yang dibawa.-Sinar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");