Isu Panas

BN Pertaruh Aku Janji Khusus Rampas Semula Kelantan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Kelantan akan mengumumkan aku janji khusus untuk Kelantan Rabu ini dalam usaha merampas semula negeri tersebut daripada cengkaman PAS sejak 28 tahun lepas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata manifesto berkenaan adalah tambahan kepada Manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam tadi, sekali gus untuk rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu terus menikmati manfaat daripada kerajaan Persekutuan.

“Antara intipati manifesto khusus untuk rakyat Kelantan adalah menegakkan syiar Islam, melengkap infrastrukur perhubungan jalan raya dan mempercepatkan pembinaan lebuh raya Gua Musang ke Kota Bharu.

“Kita juga berhasrat untuk membina stadium baharu bertaraf antarabangsa, membina masjid di setiap jajahan, membela nasib dan menaik taraf penjawatan imam, membina lebih banyak sekolah dan institusi keagamaan,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pengundi luar Kelantan sewaktu program ‘Bersama Team Tokpa Demi Kelantan’, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin, Pengerusi Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abd Aziz dan anak-anak Kelantan yang bekerja dan belajar di ibu negara.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata manifesto khusus itu juga antara lain dilihat akan terus memperjuangkan untung nasib rakyat Kelantan tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama mahu pun darjat dan warna kulit.

Beliau turut memuji beberapa dasar baik yang telah dilaksanakan kerajaan pimpinan PAS yang mana ia akan diteruskan serta ditambah baik BN jika berkuasa dan memerintah kelak selepas PRU14.

Mengulas mengenai calon Menteri Besar sekiranya BN menawan Kelantan, Mustafa berkata fokus utama parti itu adalah memenangi Kelantan menerusi gerak kerja berterusan yang perlu dilipatgandakan.

“Itu (siapa calon) kita akan bincang kemudian. Sekarang, kita bekerja habis-habisan untuk rakyat. Saya kerja 24 jam tanpa henti, hanya untuk rakyat Kelantan.

“Kita tidak boleh mendahului, kita buat kerja… itu terserah kepada Allah. Saya sebagai Pengerusi BN Kelantan diberi amanah untuk pastikan kemenangan BN,” tambahnya.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");