Perak Hari Ini

Calon Tambun:Pucuk Pimpinan Perlu Buat Pertimbangan Sewajarnya

IPOH:Pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) disaran supaya mengambil kira suara dan pandangan yang dilontarkan oleh akar umbi sebelum menetapkan sebarang keputusan berkaitan calon pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi BN Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata golongan akar umbi berperanan melaksanakan gerak kerja serta tanggungjawab pada parti malah sebagai anggota parti semua berhak menyuarakan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, sebagai orang yang berpandukan kepada kepimpinan parti maka pemilihan akhir tetap diserahkan kepada tangan pucuk pimpinan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sumber dalaman bahawa UMNO bahagian itu tidak mencalonkan nama bekas Menteri Kewangan Kedua yang juga penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah kerana beliau sudah meletakkan semua jawatan politik dan pernah menyuarakan hasrat untuk bersara dari politik.

“Selaku Pemangku kepada Ketua UMNO Bahagian apabila Datuk Seri Husni menyatakan hasrat untuk meninggalkan politik wajarlah kita berusaha menyediakan golongan pelapis sehinggalah di saat akhir beliau menyatakan hasrat bertanding semula jadi kita serah kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan buat pilihan.

“Adalah menjadi tanggunjawab kepada jentera untuk memenangkan calon yang dipilih oleh parti yang juga menjadi adalah salah satu faktor membolehkan Barisan Nasional (BN) terus memenangi pilihan raya,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama warga Rumah Seri Kenangan di Tanjung Rambutan hari ini.

Katanya lagi, keupayaan untuk bertolak ansur adalah penting namun sebelum pemilihan dibuat semua pihak mempunyai hak menyatakan pandangan serta keinginan masing-masing.

“Namun pada masa sama, saya akur pucuk pimpinan mempunyai hak. Bagaimanapun saya berharap kepimpinan memberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum membuat pilihan kerana kita berada di bawah, kita yang melaksanakan kerja, melaksanakan tanggungjawab pada parti dan saya berharap faktor itu diambil kira kerana sebagai anggota parti semua berhak menyuarakan pandangan kita.

“Jika terdapat sumber dalaman menyatakan menolak Husni menjadi calon, ia boleh datang daripada sumber dalaman, boleh datang daripada pelbagai sumber rasmi atau tak rasmi.

“Kita akur setiap keputusan dan mengakui hakikat keputusan akhir di tangan pengerusi parti cuma diharapkan pucuk pimpinan mengambil kira pandangan pengerak jentera parti di akar umbi.

“Tanggungjawab memberikan kemenangan pada parti bukan soal individu hanya sehingga satu peringkat tapi selepas itu parti lebih utama,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai pemegang jawatan kita perlu ubah pemikiran itu bahawa hanya akan ada satu ketika sahaja kita boleh melalukan sesuatu dan keputusan terserah pada Pengerusi BN.

Mengulas sama ada beliau akan hampa atau kecewa sekiranya keputusan pucuk pimpinan tidak berpihak kepadanya, jelas Aminuddin kesemuanya terserah pada pucuk pimpinan dan beliau sentiasa akur dengan apa sahaja kemungkinan.

“Sebagai manusia kita dipengaruhi oleh perasaan, tanggungjawab itu perlu saya laksanakan sama ada selepas itu orang tak pilih saya parti tidak memerlukan saya jadi saya akur yang penting semasa mengalas tanggunjawab saya melakukan yang terbaik untuk parti dan pucuk pimpinan,” katanya.

Pada masa yang sama beliau turut berharap kebajikan warga emas yang ditempatkan di rumah penjagaan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat diberikan perhatian sewajarnya dan keluarga penghuni pusat berkenaan dinasihati supaya tidak menjauhi mereka.

Bertetapan dengan manifesto yang dilancarkan Barisan Nasional Perak semalam, keutamaan turut diberikan kepada golongan warga emas dari segi menjaga kebajikan mereka.

“Masih terdapat banyak keluarga yang tidak dapat menerima keadaan mereka ini khususnya kepada bekas pesakit dari hospital bahagia yang mengharapkan belas ikhsan daripada semua pihak termasuk syarikat korporat, pemimpin masyarakat yang perlu memahami keperluan mereka bagaimanapun kita bersyukur atas usaha kerajaan pusat telah menyediakan satu tempat yang agak selesa kepada golongan tidak bernasib baik ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");