Perak Hari Ini

CycleDios Produk Pelancongan Terbaharu Di Taiping

TAIPING: CycleDios Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mewujudkan Sistem Perkongsian Basikal Cycledios di sekitar Bandar Warisan Taiping bersesuaian dengan nilai sejarah, budaya serta kelebihan dalam produk eko-pelancongan disini.

Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim berkata sistem tersebut merupakan julung kali diadakan di Perak selepas beberapa daerah lain di negara ini seperti Putrajaya dan Pulau Pinang.

Jelasnya, jalinan kerjasama selama 7 tahun antara kedua-dua pihak terbabit diharap dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara selain dapat terus giat mempromosikan produk-produk Jejak Warisan yang ada.

“Pengguna boleh menyewa dan memulangkan kembali basikal tersebut ke 27 stesen yang ada.

“Stesen-stesen ini juga meliputi Jejak-Jejak Warisan Taiping yang mana berada dalam lingkungan 15 Kilometer,” katanya.

Tambahnya, selain dengan kehadiran Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 pada Septermber 2018 yang mana Taiping menjadi tuan rumah bagi acara berbasikal luar velodrom, produk pelancongan terbaharu ini juga diharap dapat meningkatkan lagi budaya berbasikal dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai melancarkan Sistem Perkongsian Basikal CycleDios di Stesen FMS Taman Tasik Taiping, di sini, pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif CycleDios Berhad, Adamms Chooi.

Pada perkembangan sama, Pegawai Perhubungan CycleDios Berhad, Camees Foong berkata dengan adanya kemudahan sewaan basikal tersebut ia dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara di sekitar bandar ini.

Selain itu, beliau berkata sistem tersebut akan diperluaskan ke semua daerah di Perak dan antara yang bakal menyusul ialah Ipoh dan Tanjung Malim.

Untut tambahan, pada setiap stesen ada dipaparkan cara penggunaan dan penyewaan basikal ini menerusi aplikasi telefon pintar.

Kesemua 800 basikal tersebut dilengkapi dengan beberapa ciri keselamatan seperti Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku terhadap basikal dan juga penyewa.

Terdapat lapan jenis basikal disediakan dan nilai sewaan yang dikenakan adalah berbeza antara satu dengan yang lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");