Membawang Hari Ini

Fizo Jangka PRU14 Lebih Meriah, Zizan Balik 3 Hari Awal

Tanggal 9 Mei depan seluruh rakyat Malaysia (yang layak mengundi) akan menunaikan tanggungjawab memangkah wakil rakyat pilihan masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU14).

Memandangkan hari mengundi tahun ini jatuh pada hari pertengahan minggu bekerja, jadi pastinya ramai sudah merancang untuk pulang ke kampung termasuklah sebilangan besar artis tanah air yang juga teruja untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Pelawak dan pelakon terkenal Zizan Razak ketika dihubungi memberitahu, dia bersemangat untuk menunaikan kewajipan sebagai rakyat dan merancang untuk pulang lebih awal bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Mengundi itu adalah kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia, jadi kita memang harus balik mengundi. Mungkin saya akan balik tiga atau dua hari sebelum hari mengundi kerana saya risau akan kesesakan lalulintas. Sejurus selepas mengundi saya akan balik ke Kuala Lumpur.

“PRU kali ini pada pertengahan minggu, saya rasa tiada masalah lagipun mengundi bukannya lama, pergi mengundi dan balik. Kalau saya yang bekerja sendiri dan tiada bos, mudah bagi saya untuk merancang tetapi untuk orang lain saya tidak pasti,” kata anak kelahiran Dungun, Terengganu ini.

Seorang lagi artis iaitu aktres Faezah Elai pula berkata, dia kini masih lagi terikat dengan penggambaran drama bertajuk Cinta Fatamorgana yang akan berterusan sehingga hari mengundi.

Bagaimanapun pihak produksi akan memberi kelonggaran dan memberhentikan penggambaran seketika untuk memberi peluang kepada semua kru pulang mengundi pada hari tersebut.

“Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri. Tapi tengok macam mana nanti, sebab Heykal (pengarah) beritahu pada hari itu shooting akan break. Jadi saya akan pulang mengundi cuma belum tahu lagi bila saya akan balik ke kampung,” katanya kepada Malaysian Digest.

Pelakon berasal dari Gelugor, Pulau Pinang ini juga berpendapat walaupun kerajaan mengisytiharkan cuti umum tetapi disebabkan ia akan berlaku pertengahan hari minggu bekerja, masih menyukarkan sesetengah pihak.

“Bagi saya, untuk mereka yang bekerja dengan syarikat mungkin tetap berdepan dengan masalah. Sebab ia jatuh pada hari pertengahan minggu bekerja jadi mereka kena balik cepat sebab esoknya kena masuk kerja,” katanya memberi pandangan.

Bagi pelakon dan usahawan berjaya Fizo Omar pula, dia menjangkakan suasana PRU tahun ini lebih meriah. Seperti orang lain, dia dan isterinya Mawar Karim, merancang pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi.

“Saya rasa PRU kali ini lebih meriah. Saya rancang untuk balik dua hari awal. Kali ini saya dan Mawar, kami berasinganlah.

“Saya balik Kota Bharu dan Mawar ke Permatang Pauh. Mungkin saya hantar Mawar dulu kemudian baru balik ke Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu Fizo mengakui keputusan hari mengundi tahun ini mencabar baginya sebagai majikan. Namun dia tidak menafikan hak pelepasan untuk para pekerjanya pulang ke kampung untuk mengundi.

“Tak dinafi memang hari PRU kali ini satu keputusan yang agak mencabar bagi kami sebagai majikan. Ada pro dan kontranya… memang sebagai orang berniaga, perniagaan tu penting tetapi saya sebagai majikan sangat memahami dan semestinya pekerja-pekerja saya teruja nak tunaikan tanggungjawab balik mengundi.

“Jadi restoran saya akan tutup dan saya memberi mereka cuti dua hari supaya mudah untuk mereka merancang pulang ke destinasi masing-masing. Kalau hanya sehari cuti, mungkin sukar sebab mungkin tiket habis atau kesesakan lalulintas. Kami sebagai majikan sudah lunaskan tanggungjawab kami, terpulang kepada para pekerja untuk merancang perjalanan dan masa mereka,” katanya.

Pada 10 April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari pengundian bagi PRU-14 ditetapkan pada 9 Mei iaitu pada hari Rabu manakala tarikh penamaan calon pada hari Sabtu, 28 April ini.

Semalam, kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena hari mengundi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");