OLIVER Giroud tidak menyembunyikan kegembiraan apabila meraih jaringan pertama dalam Liga Perdana Inggeris buat Chelsea, terutama selepas dua golnya membolehkan The Blues bangkit untuk menewaskan Southampton 3-2 di Stadium St. Mary, semalam.
Chelsea tampak bergelut dalam aksi di tempat lawan selepas sejam perlawanan, apabila Dusan Tadic dan pemain yang melakukan penampilan pertama buat The Saints, Jan Bednarek, menjaringkan gol untuk tuan rumah.
Giroud dibawa masuk selepas itu dan pantas memberikan impak dalam perlawanan, 10 minit selepas menggantikan Alvaro Morata apabila menanduk masuk hantaran lintang Marcos Alonso, sebelum Eden Hazard mengikat kedudukan buat The Blues.
Penyerang Perancis yang menyertai Chelsea dari Arsenal pada Januari lalu itu melengkapkan kebangkitan menakjubkan skuad bimbingan Antonio Conte ketika aksi berbaki 12 minit untuk ditamatkan menerusi sepakan kaki kiri untuk memastikan Chelsea membawa pulang tiga mata.
“Jelas sekali saya menunggu detik ini. Saya sering mencuba untuk menyumbat gol tetapi tidak bernasib baik dan kadangkala ia disebabkan oleh kurangnya ketepatan,” kata Giroud, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.
“Apabila anda menjadi seorang penyerang, anda harus terus mencuba, mengekalkan tahap keyakinan walaupun kurang beraksi selama beberapa minggu.
“Saya benar-benar mahu Chelsea bangkit dalam babak kedua. Permulaannya bukan yang kami jangkakan tetapi dalam bola sepak, anda sentiasa berpeluang untuk bangkit,” tambahnya.
“Kami telah mempamerkan semangat berpasukan yang hebat.
“Apabila masuk, saya berkata kami harus melawan sehingga ke penghujung aksi dan terus percaya dengan seluruh pasukan. Saya tidak katakana kami akan menjaringkan gol tetapi percaya gol pertama yang kami raih membuatkan lawan tidak selesa. Ia bagus untuk Chelsea.”