Sukan Hari Ini

Hafizh Catat Permulaan Positif Di GP Argentina

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah melalui permulaan positif di Grand Prix Argentina ketika dia muncul penunggang baharu terpantas dalam sesi latihan bebas satu (FP1) dan dua (FP2), awal pagi tadi.

Penunggang Monster Yamaha Tech3 itu mencatat 1 minit 41.094 saat bagi kedudukan ke-11 dalam FP1, namun hujan sebelum bermula sesi kedua di litar Termas de Rio Hondo menyaksikan dia lebih perlahan dengan masa 1:41.257s untuk kedudukan ke-16 FP2.

Hafizh, yang menamatkan saingan di tangga ke-14 perlumbaan pembuka tirai di Qatar awal bulan ini, mengakui dia melakukan sedikit kesilapan pada FP2 ketika mencuba untuk berada di kedudukan 10 terpantas.

“Saya rasa sangat bagus dalam FP2 selain sesi pertama pagi ini. Ia mengambil sedikit masa untuk membersihkan litar namun secara keseluruhan saya melalui detik yang bagus,” kata pelumba berusia 23 tahun itu.

“Pada sesi petang, kedaan lebih sukar. Saya memberi tekanan berlebihan untuk terus layak ke Q2 (10 terbaik).

“Ia membuatkan saya melakukan sedikit kesilapan, tapi pada penghujungnya, saya faham apa yang saya lakukan adalah salah. Jentera rasa lebih bagus buat saya secara keseluruhan.

“Kami melihat data untuk lebih meningkat esok (hari ini) dan saya harap saya boleh meningkat lagi kali ini.”

Litar Termas de Rio Hondo yang jarang digunakan, dikenali sebagai litar paling kotor dalam kejuaraan kali ini dan hanya akan dibersihkan selepas sesi pertama atau kedua memetik sumber Berita Harian.

Rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco berada di kedudukan keempat (1:40.614s) dalam FP1 dan ke-14 (1:40.974s) dalam FP2.

Pasangan penunggang Repsol Honda, Dani Pedrosa dan Marc Marquez mencipta kepantasan awal apabila mereka mengungguli FP1 dan FP2 masing-masing dengan masa 1:40.303s dan 1:39.395s.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");