Jenayah

Hajat Baiki Bumbung Tak Kesampaian

KUANTAN – Hajat seorang juruelektrik untuk membaiki bumbung rumah rosak dengan membuat pinjaman wang tidak kesampaian, selepas diperdaya sindiket penipuan syarikat pinjaman wang tidak wujud, akhir bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 27 tahun berminat untuk membuat pinjaman berkenaan apabila melihat satu iklan oleh Syarikat Care Finance (M) Sdn Bhd, di aplikasi Wechat.

Menurutnya, akibat itu, mangsa mengalami kerugian RM9,550 selepas diminta oleh sindiket terbabit untuk membuat pelbagai bayaran bagi tujuan permohonan pinjaman berkenaan.

“Tujuan mangsa hanya untuk pinjaman kerana mahu membaiki bumbung rumahnya yang rosak. Jadi mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000.

“Mangsa kemudian ditawarkan dengan bayaran bulanan sebanyak RM710 untuk 48 bulan oleh seorang lelaki sebelum diminta untuk memasukkan wang terlebih dahulu sebagai wang simpanan,” katanya ketika dihubungi, hari ini lapor Sinar Harian.

Mohd Wazir berkata, mangsa dimaklumkan oleh suspek bahawa wang sebanyak RM9,550 akan dikembalikan semula kepadanya, selepas segala urusan proses pinjaman wang selesai.

Jelasnya, mangsa kemudian memasukkan wang melalui pindahan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ke dalam satu akaun Maybank yang diberikan oleh suspek menerusi tiga kali transaksi.

“Tiga transaksi berkenaan dilakukan secara berperingkat bermula 30 Mac hingga 5 April lalu sebelum menghubungi suspek, namun tidak berjawab. Mangsa kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, semalam,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang juruteknik sebuah kilang di Pekan kerugian RM3,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa adalah suspek utama di dalam kes pengubahan wang haram.

Mohd Wazir berkata, mangsa dihubungi seorang suspek yang menyamar sebagai kakitangan Pos Malaysia Subang Jaya yang mendakwa terdapat dokumen atas nama mangsa tidak diambil, pada 4 April lalu.

Menurutnya, mangsa kemudian meminta suspek untuk membuka dokumen terbabit namun diberitahu terdapat satu dokumen yang menyatakan mangsa memiliki hutang tertunggak kad kredit sebanyak RM4000.

Bagaimanapun, mangsa menafikan memiliki sebarang kad kredit dan diberitahu berkemungkinan data peribadi telah digunakan oleh individu lain.

Seterusnya, Mohd Wazir berkata, suspek juga mendakwa nama mangsa adalah suspek utama di dalam kes pengubahan wang haram dan memintanya memindahkan wang tunai sebanyak RM3,000 ke dalam akaun bank yang diberi bagi mengelak direman.

“Mangsa kemudian memindahkan wang berkenaan ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek, sebelum berasa ditipu dan membuat laporan polis di IPD Pekan, semalam,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");