shadow

KUANTAN FA bakal berdepan hukuman pembatalan penyertaannya dalam saingan Liga Premier 2018 selepas tidak menurunkan pemain pada perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Tindakan tegas ini juga akan diambil kepada individu yang terlibat bagi memastikan mereka ini tidak terlibat lagi dalam bola sepak tempatan.

Sekretariat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan, perkara ini akan dimajukan kepada Lembaga Pengarah MFL untuk membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam saingan Liga Premier Malaysia 2018

“Mereka yang terlibat juga pasti berdepan hukuman setimpal yang akan dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“MFL telah berlaku adil kepada pegawai dan pemain dengan membantu membayar gaji satu bulan melalui geran pasukan 2018 dengan harapan ianya dapat memberi peluang kepada pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah ini dan terus mengharungi liga,” jelas kenyataan yang disiarkan melalui Facebook Football Malaysia LLP, semalam lapor Sinar Harian.

Menerusi kenyataan tersebut, MFL telah menerima banyak jaminan di mana mereka akan menyelesaikan semua masalah mereka dengan penajaan baru yang akan masuk namun ianya tetap gagal dan satu keputusan harus dimuktamadkan.

“Lembaga Pengarah MFL dan juga FAM sudah tentu memandang serius perkara ini dan satu hukuman yang setimpal pasti menyusul, bukan sahaja kepada pasukan, tetapi juga kepada individu-individu yang terlibat dengan memastikan mereka ini tidak terlibat lagi dalam bola sepak tempatan lagi,” ujarnya.

Perlawanan di antara PDRM dan Kuantan FA dalam saingan Liga Premier 2018 di Stadium Shah Alam malam kelmarin tidak dapat dijalankan kerana pasukan Kuantan FA tidak hadir di venue pertandingan sehingga jam 9.00 malam.

Pengesahan telah dibuat oleh pengadil pertandingan di tengah padang tepat jam 9.00 malam dan PDRM diberikan kemenangan 3-0.

Difahamkan tindakan tersebut diambil pemain Kuantan FA selepas pengurusan gagal menyelesaikan tunggakan gaji walaupun beberapa perjumpaan dan perbincangan telah diadakan bagi mengatasi kemelut terbabit.

The Seagulls memulakan saingan dengan kekalahan di tangan Sarawak (1-0) pada 2 Februari sebelum meraih satu mata ketika menentang MISC (1-1) selang empat hari kemudian.

Anak didik Ismail Zakaria terus gagal meraih kemenangan pada aksi ketiga menentang UiTM (10 Februari) selepas diikat seri 1-1, namun kemenangan sulung yang dicari Kuantan FA akhirnya menjelma selepas menundukkan cabaran UKM FC, 4-0 pada 23 Februari 2018.

Hasrat Kuantan FA untuk meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan kelima menentang Felda United bagaimanapun tidak kesampaian apabila tewas 0-1 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka Pahang, 9 Mac 2018 sebelum seri tanpa jaringan pada perlawanan keenam menentang Pulau Pinang pada 10 April lalu.

Untuk rekod Kuantan FA kini berada di kedudukan kesembilan selepas meraih satu kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan untuk mengutip enam mata dan pemainnya bertindak tidak turun beraksi pada pertembungan menentang PDRM, di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Komen & Pendapat