BALING: Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menganggap dakwaan pihak pembangkang yang tular di media sosial bahawa pembelian tanah Tabung Haji di TRX adalah untuk membayar hutang-hutang 1MDB sebagai fitnah kitar semula.
Beliau berkata perkara seumpama itu sudah tular pada 2015 dan kini pembangkang sengaja mengaitkan TH dan dirinya sekali lagi memandangkan pilihan raya umum kini makin hampir.
“Mungkin mereka (pembangkang) rasa saya akan dicalonkan sekali lagi dan sebab itu, semua cerita ini ditimbulkan. Tapi saya paling takut, pendeposit ini akan sekali lagi termakan fitnah ini dan mengulangi kesilapan yang dilakukan dulu dengan mengeluarkan simpanan mereka di TH.
“Akibatnya, pendeposit ini menyesal dan kini terpaksa menunggu giliran untuk menunaikan haji lebih lama dengan jangkaan giliran menunggu menunaikan haji sudah meningkat kepada 100 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Baling yang disempurnakan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam di Hospital Baling di sini hari ini.
Dakwaan itu mula tersebar luas di media sosial hari ini dengan terdapat gambar Abdul Azeez bersama Jho Low.
Dalam masa sama, beliau berkata telah mengarahkan pengurusan tertinggi TH untuk membuat laporan polis agar tindakan segera dapat diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab itu.
“Saya berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan serta merta dan menjadikan penyebar fitnah ini sebagai orang pertama yang didakwa atas Akta Antiberita Palsu,” katanya.
-BERNAMA