Berita Hari Ini

Jangan Kait Isu Sensitif Semasa Berkempen – Tengku Abdullah

KUANTAN — Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini, mengingatkan parti politik untuk mengamalkan pendekatan berkempen secara berhemah di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Baginda bertitah calon parti, sama ada daripada kerajaan atau pembangkang diingatkan untuk tidak mengaitkan kempen dengan isu sensitif seperti perkauman yang boleh menganggu gugat keharmonian di Pahang.

” Adalah satu kesilapan jika kita jadikan tempoh pilihan raya sebagai medan untuk mengelirukan dan memecahbelahkan perpaduan  yang sedia ada di negeri ini.  Saya harap di Pahang tidak akan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

“Bukan senang untuk kita satukan kaum berbilang kaum yang ada di negara ini, di Pahang khususnya.   Walaupun ada perkara yang perlu diperbaiki, tapi sekurang-kurangnya di Malaysia, kita masih ada tempat untuk berteduh berbanding sesetengah negara lain,” titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian kepada pemberita semasa ditemui selepas berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Warga Emas Masyarakat Tionghua di Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis (Cina) Tanah Putih di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Tengku Abdullah bertitah parti politik juga dinasihatkan untuk tidak menggunakan rumah ibadat termasuk masjid sebagai lokasi berkempen sebagai memuliakan dan menghormati kesucian tempat tersebut.

“Institusi masjid dan rumah ibadat seharusnya sentiasa dihormati… Masjid umpamanya hendaklah sentiada dihormati kerana ia adalah tempat untuk umat Islam beribadat kepada Allah,” katanya.

Tengku Abdullah berharap rakyat akan melaksanakan hak mereka dengan keluar mengundi dan membuat penilaian terbaik siapakah yang berhak diberikan tanggungjawab meneruskan pentadbiran negara.

Sementara itu, dalam titahnya, Tengku Abdullah menggesa rakyat Pahang untuk mengambil peluang daripada pelaksanaan projek besar seperti Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) .

“Jika kita tidak mengambil peluang yang diberikan, orang luar yang akan melakukan kerja itu. Saya sudah banyak kali beritahu supaya sedikit sebanyak orang Pahang sendiri dapat menikmati faedah daripada kejayaan projek besar di sini,” titahnya.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");