Perak Hari Ini

‘Jangan Sukarkan Urusan Peniaga Kecil’ – MB Zambry

SERI MANJUNG: Kerajaan Negeri Perak menerusi dasar-dasar pentadbirannya tidak pernah meminggir malah, golongan peniaga-peniaga kecil di seluruh negeri sentiasa dibantu dan diperkasakan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa inisiatif kerajaan negeri yang antaranya menerusi agensi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), telah banyak membantu memudahkan masyarakat bagi menceburi dunia perniagaan.

Selain pinjaman mikro kredit tanpa faedah YBUDR, penyediaan ‘Kiosk Amanjaya’ bernilai RM450,000 setiap satu yang diberikan secara percuma kepada pemohon turut berjaya membantu usahawan-usahawan yang terdiri daripada golongan ibu tunggal dan anak muda dalam meningkatkan taraf hidup masing-masing.

“Sebagaimana yang saya selalu sebut, pembangunan ekonomi itu bukan hanya melibatkan pemain-pemain industri yang besar sebaliknya, ia juga harus dilibatkan oleh rakyat di semua peringkat.

“Ekonomi rakyat ini haru digerakkan oleh peniaga-peniaga kecil ini. Saya sendiri tekankan kepada semua pihak supaya kita harus bantu orang nak berniaga. Jangan sukarkan, sebaliknya permudahkan urusan mereka,” katanya.

Tambahnya, segala bentuk inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasakan peniaga-peniaga kecil di seluruh daerah turut menjadi contoh dan rujukan kepada pihak negeri dan negara lain.

Selain itu, Zambry turut mengingatkan kepada para peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan persekitaran mereka kerana ianya tanggungjawab bersama.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Bersama Peniaga-Peniaga Kecil Daerah Manjung di Dewan EMV, dekat sini, pada Jumaat.

Turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Saripah Zulkifli; Timbalan Ketua UMNO Lumut, Datuk Rashidi Ibrahim; Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) , Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip serta Pegawai Eksekutif YBU, Datuk Ismail Saffian.

Program yang dirasmikan sekitar jam 9.00 malam itu dihadiri hampir 1,000.

Terdahulu, turut diadakan forum bertajuk ‘Transformasi Peniaga Kecil Ke Arah Transformasi Nasional 2050 (TN50)’ yang disertai beberapa wakil-wakil Badan Bukan Kerajaan, MPM, dan persatuan-persatuan peniaga kecil Manjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");