Berita Hari Ini

Kalau Kami Menang Lagi…

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjanjikan “transformasi” lebih besar jika sekali lagi berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum.

“Dengan izin tuhan, jika kemenangan sekali lagi berpihak kepada BN, kami sesungguhnya berjanji dan berikrar, akan melakukan yang terbaik, lebih baik daripada sebelumnya, dengan melakukan transformasi yang lebih besar, inklusif lagi komprehensif kepada rakyat serta negara.

“Apa yang penting, perjalanan transformasi tidak boleh terhenti setakat di sini sahaja.

“Dunia pun sudah berubah dan kita tidak harus lagi berundur ke belakang atau kembali semula ke zaman silam yang kelam lagi malap serta penuh kesuraman,” kata pengerusi BN.

Najib berkata demikian dalam pengumuman khas berkaitan pembubaran parlimen di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya tengah hari tadi.

Dalam ucapan hampir 30 minit itu, Najib berkata kerajaan dengan gigihnya meneruskan usaha mentransformasi negara berpaksikan Gagasan 1Malaysia yang dicetuskan pada 2009 dan Dasar Transformasi Nasional, mulai 2010.

Kemudiannya, katanya lagi, diikuti dengan beberapa dasar dan inisiatif utama lain antaranya, Program Transformasi Negara, Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera, dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Malah, bermula 2009, kerajaan benar-benar melakukan “transformasi inklusif lagi komprehensif”, sehingga menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh kejayaan kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, anggota parlimen Pekan juga berkata akan turut membentuk kerajaan yang kuat lagi stabil, dengan majoriti kukuh, selain mahu membangunkan negara ini dari Perlis sampai ke Sabah.

“Sehubungan itu, saya dengan penuh kerendahan hati, memohon untuk diberi mandat baharu kepada BN untuk terus membawa Malaysia ke mercu kejayaan,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");